
KUALA LUMPUR, 22 April – Tiga pelakon veteran daripada kaum Melayu, Cina dan India disatukan dalam supertelefilem Makcik Lesen P, mengangkat kisah komedi sarat nilai perpaduan.
- Mesej perpaduan dan nilai kebersamaan diketengahkan melalui cerita berunsur komedi.
- Pendekatan karya mencerminkan realiti masyarakat majmuk negara, memberi kelainan dalam kandungan hiburan.
- Jalan cerita fokus wanita warga emas berusaha berdikari, mencetuskan situasi lucu ketika mendapatkan lesen memandu.
- Projek di bawah Dana STAR membantu artis veteran; supertelefilem dijangka ditayangkan RTM pada Ogos.
Gandingan Fadilah Mansor, Louisa Alissa Chong Abdullah dan Sukh Binderjit Kaur menampilkan tiga wanita berbeza latar budaya, namun disatukan melalui kisah yang mencuit hati dan menyentuh nilai kebersamaan.
Penerbit, Meor Ahmad Mazlan berkata, pendekatan itu dipilih bagi mencerminkan realiti masyarakat majmuk negara selain memberikan kelainan dalam kandungan hiburan sedia ada.
“Kita tampilkan tiga makcik daripada latar belakang berbeza yang semuanya veteran supaya cerita ini nampak dekat dengan masyarakat dan membawa mesej perpaduan.
“Dalam masa sama, elemen komedi diketengahkan apabila mereka melalui pelbagai cabaran untuk mendapatkan lesen memandu pada usia lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran di sini, hari ini.
Menurutnya, jalan cerita memfokuskan usaha wanita warga emas yang mahu berdikari tanpa bergantung kepada ahli keluarga, sekali gus mencetuskan pelbagai situasi mencuit hati sepanjang proses itu.
Jelas beliau, perjalanan mendapatkan lesen memandu menjadi nadi penceritaan dengan pelbagai insiden lucu, termasuk dibantu jurulatih dikenali sebagai Mr. Break yang dilakonkan Bell Ngasri.
Sementara itu, pihaknya menyambut baik pelaksanaan Dana Supertelefilem Bintang Artis Veteran (STAR) yang disifatkan membantu menghidupkan kembali penglibatan penggiat seni berpengalaman.
“Dengan adanya dana ini, kita dapat bantu artis dan kru veteran yang sebelum ini kurang mendapat peluang untuk kembali bekerja serta menjana pendapatan.
“Kalau sambutan baik, kita harap projek seperti ini dapat dikembangkan menjadi bersiri supaya lebih banyak peluang dapat diberikan kepada penggiat industri,” katanya.
Supertelefilem Makcik Lesen P terbitan All Media Creation Sdn Bhd dijangka akan ditayangkan menerusi saluran televisyen RTM pada Ogos depan, sekali gus menjadi antara hasil projek di bawah Dana STAR, FINAS.