
KYIV, 30 Julai -Tujuh orang terbunuh selepas peluru berpandu balistik Rusia mengenai beberapa wilayah Ukraine termasuk ibu negara dan Kota Lviv di barat negara berkenaan pada Khamis.
- Penduduk ketakutan, terpaksa berlindung di stesen kereta api bawah tanah.
- Amaran serangan udara dikeluarkan di kebanyakan wilayah; bunyi letupan kedengaran di Kyiv.
- Perkhidmatan kecemasan mengesahkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera di ibu negara.
- Di Kryvyi Rih, enam terbunuh termasuk dua kanak-kanak; insiden disahkan berpunca daripada peluru berpandu Iskander-M.
Serangan terbaharu itu menyebabkan penduduk ketakutan dan terpaksa berlindung di stesen kereta api bawah tanah.
Amaran serangan udara dikeluarkan di kebanyakan wilayah Ukraine. Manakala saksi Reuters melaporkan bunyi letupan kedengaran di Kyiv.
Datuk Bandar Vitali Klitschko berkata beberapa lokasi bukan kediaman turut terbakar susulan serangan berkenaan.
Perkhidmatan kecemasan mengesahkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera di ibu negara.
Serangan berskala besar itu berlaku ketika Presiden Volodymyr Zelenskiy baru pulang dari Amerika Syarikat (AS). Beliau mengesahkan Presiden Donald Trump telah bersetuju untuk memberikan lesen perolehan peluru berpandu Patriot kepada Ukraine.
Sementara itu di bandar kelahiran Zelenskiy di Kryvyi Rih, dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan 12 tahun antara enam yang terkorban, manakala lapan lagi cedera.
Ketua Majlis Pertahanan Kryvyi Rih, Oleksandr Vilkul, mengesahkan insiden di bandar berkenaan berpunca daripada bedilan terus peluru berpandu balistik Iskander-M milik Rusia. – REUTERS