
WASHINGTON, 30 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengancam untuk mengenakan tarif tambahan terhadap negara-negara yang menjual minyak ke Cuba, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas negara kepulauan itu.
- Perintah eksekutif ancam tarif tambahan terhadap negara yang menjual minyak kepada Cuba.
- Kerajaan Cuba digelar ancaman luar biasa kepada keselamatan AS di bawah akta darurat.
- Venezuela merupakan sumber utama bekalan minyak kepada Cuba sebelum campur tangan AS.
- Kekurangan bahan api di Cuba menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang meluas.
Perintah itu menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa dan menyifatkan kerajaan Cuba sebagai “ancaman luar biasa” terhadap keselamatan AS.
“Duti ad valorem (berdasarkan nilai anggaran) tambahan boleh dikenakan ke atas import barangan yang merupakan produk sesebuah negara asing yang secara langsung atau tidak langsung menjual atau membekalkan minyak kepada Cuba.
“Rejim tersebut bersekutu dengan memberikan sokongan kepada banyak negara yang bermusuhan, kumpulan pengganas transnasional, serta pelaku berniat jahat yang menentang Amerika Syarikat,” menurut sebahagian daripada perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh White House.
Cuba, yang sebahagian besarnya berada bawah sekatan AS sejak 1962, menerima banyak bekalan minyak dari Venezuela.
Namun sejak Presiden Venezuela, Nicolas Maduro digulingkan AS, Trump telah mengambil alih kawalan sektor minyak negara itu dan berikrar untuk menghentikan penghantaran minyak ke Cuba tanpa sebarang perjanjian.
Pulau Caribbean itu telah mengalami kekurangan bahan api yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjejaskan grid kuasanya dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang meluas.
Sebuah lagi negara Amerika Latin, Mexico, terus membekalkan minyak kepada Cuba, dengan Presiden Claudia Sheinbaum awal minggu ini menafikan laporan bahawa beliau telah menghentikan penghantaran minyak ke Havana. – AFP