
ADEN (Yaman)/ISTANBUL, 16 Ogos – Tentera Yaman pada Ahad memaklumkan pihaknya melancarkan 181 operasi ketenteraan dalam tempoh 24 jam terhadap kedudukan dan sasaran Houthi di beberapa wilayah, mengakibatkan puluhan anggota kumpulan itu terbunuh dan cedera, lapor Anadolu Ajansi.
- Serangan memusnahkan banyak peralatan ketenteraan, kenderaan dan depot senjata milik Houthi, menurut jurucakap tentera.
- Operasi menyasarkan lokasi ketenteraan dan punca tembakan Houthi di Taiz, Marib, Abyan, Al-Dhalea dan Al-Hudaydah.
- Walaupun keadaan relatif tenang sejak April 2022, pertempuran kembali meningkat di beberapa wilayah dan krisis kemanusiaan terus memburuk.
Serangan itu memusnahkan “puluhan peralatan ketenteraan, kenderaan dan depot senjata” milik kumpulan Houthi, kata jurucakap tentera Kolonel Majid Abdullah al-Nuzaili menerusi platform media sosial X.
Nuzaili berkata serangan itu menyasarkan lokasi ketenteraan dan punca tembakan Houthi di Taiz, Marib, Abyan, Al-Dhalea dan Al-Hudaydah.
Houthi belum memberikan sebarang komen mengenai kenyataan itu.
Yaman menyaksikan keadaan yang agak tenang sejak April 2022 dalam perang yang bermula hampir 12 tahun lepas antara tentera kerajaan dan Houthi, yang menguasai ibu negara Sanaa serta beberapa bandar dan wilayah lain sejak September 2014.
Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus di beberapa wilayah sejak beberapa minggu kebelakangan ini termasuk Marib, Al-Jawf, Al-Dhalea dan Taiz, ketika negara itu terus berdepan antara krisis kemanusiaan dan ekonomi terburuk di dunia. – BERNAMA-ANADOLU