
GREECE, 16 Ogos – Pasukan bomba memasuki hari kedua memerangi kebakaran hutan di pulau Skyros pada Ahad.
- Pihak berkuasa optimis kebakaran akan dikawal sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
- Dua komuniti kecil diarah berpindah; 3,000 penduduk dan pasukan bantuan digerakkan untuk operasi memadam, termasuk jentera dan jengkaut.
- Greece berdepan beberapa kebakaran besar tahun ini, memusnahkan sekitar 20,000 hektar dan meningkatkan risiko disebabkan perubahan iklim.
Pihak berkuasa tempatan optimis api akan dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Datuk Bandar Skyros, Kyriakos Antonopoulos berkata situasi bertambah baik dan tiada kawasan yang berpenghuni terjejas, setakat ini.
“Saya percaya dalam tempoh sehari ini, kebakaran akan berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya menerusi stesen televisyen kerajaan ERT.
Kebakaran tercetus pada Sabtu, menyebabkan dua komuniti kecil diarahkan berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.
Pasukan bantuan yang terdiri daripada 3,000 orang yang tinggal berhampiran kawasan itu turut digerakkan ke lokasi.
Antonopoulos berkata tindakan segera perlu diambil bagi membolehkan api dapat dikawal secepat mungkin.
“Anggota bomba yang dilengkapi dengan jentera dan jengkaut cuba membersihkan laluan di kawasan sukar.
“Kami berharap keadaan akan bertambah baik,” katanya.
Greece berdepan beberapa kebakaran hutan besar, sejak akhir Julai lalu yang didorong tiupan angin yang luar biasa kencang.
Situasi itu berlaku selepas sebahagian besar kawasan di Greece terlepas daripada suhu gelombang haba pada awal musim panas, yang melanda kebanyakan lokasi di Eropah.
Sekurang-kurangnya lima anggota bomba maut dalam operasi bagi memerangi kebakaran hutan tahun ini.
Ia termasuk seorang juruterbang Denmark yang terbunuh awal bulan ini, apabila dua helikopter Bell bertembung di udara ketika menjalankan operasi berhampiran Athens.
Minggu lalu, kira-kira 500 pelancong terpaksa dipindahkan dari beberapa pantai di semenanjung Halkidiki, utara Greece, selepas kebakaran hutan mengancam dua pusat peranginan popular.
Secara keseluruhan, kira-kira 20,000 hektar kawasan hutan dan tanah pertanian musnah dalam kebakaran besar tahun ini, termasuk berhampiran Athens serta di pulau Crete dan Paros.
Kebakaran hutan merupakan kejadian tahunan di Greece, namun pakar memberi amaran risiko semakin meningkat akibat perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia, yang memburukkan keadaan kemarau dan cuaca ekstrem.- AFP