Tujuh maut dalam serangan Houthi di Pelabuhan Mocha

Foto REUTERS

YAMAN, 16 Ogos – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam serangan berterusan kumpulan Houthi yang menyasarkan Pelabuhan Mocha berhampiran Selat Bab al-Mandab sejak minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan melumpuhkan perdagangan dan perkapalan, menyebabkan kerugian langsung kira-kira AS$16 juta.
  • Kemudahan dermaga, gudang, bengkel dan beberapa kapal rosak, mengganggu operasi pelabuhan serta projek pembesaran pelaburan.
  • Serangan menggunakan peluru berpandu, dron dan bot berisi letupan, menimbulkan kebimbangan kembalinya perang berskala penuh.

Serangan itu turut melumpuhkan aktiviti perdagangan dan perkapalan sekali gus menyebabkan kerugian langsung kira-kira AS$16 juta.

Pegawai kerajaan Yaman dan pihak berkuasa pelaburan mengesahkan perkara itu.

Serangan Houthi yang menggunakan peluru berpandu dan dron sepanjang minggu lalu, menyebabkan kerosakan besar terhadap kemudahan serta peralatan pelabuhan di wilayah Taiz, barat daya Yaman.

Pengarah Pelabuhan Mocha, Abdulmalik al-Sharabi berkata empat anggota pasukan keselamatan pelabuhan dan tiga pekerja terbunuh dalam serangan terbabit.

“Beberapa dermaga rosak selain gudang dan bengkel penyelenggaraan milik pelabuhan.

“Setiap kemudahan ekonomi dalam kompleks pelaburan menjadi sasaran serangan,” katanya.

Selain itu, enam kapal kayu dan sebuah kapal korek yang digunakan dalam kerja-kerja pembesaran pelaburan, juga mengalami kerosakan.

Penggantungan aktiviti perdagangan dan perkapalan menyebabkan kira-kira 1,300 pekerja kehilangan sumber pendapatan.

Ketua Kesatuan Pedagang Mocha, Mohammed al-Ghanami berkata serangan mengakibatkan kerugian besar kepada pedagang, mengancam nyawa pekerja pelabuhan serta merosakkan kapal komersial.

Dalam pada itu, Pasukan Penentang Kebangsaan Yaman yang prokerajaan mendakwa Houthi melancarkan 40 peluru berpandu balistik, 46 dron serta menggunakan bot sarat bahan letupan dalam serangan terhadap Mocha, pelabuhan itu dan beberapa lokasi lain antara 9 hingga 14 Ogos.

Houthi pula mendakwa operasi di kawasan Mocha menyasarkan pembinaan kekuatan ketenteraan dan depot senjata milik pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.

Namun, pihak berkuasa kerajaan menolak dakwaan itu dan menegaskan Pelabuhan Mocha merupakan kemudahan awam untuk aktiviti perdagangan.

Pelabuhan berkenaan penting sebagai laluan masuk barangan komersial dan bekalan ke kawasan yang dikuasai kerajaan Yaman.

Peningkatan serangan itu mencetuskan kebimbangan Yaman kembali terjerumus ke dalam perang berskala penuh, selepas gencatan senjata tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tamat pada Oktober 2022.

Walaupun gencatan senjata itu berakhir, keadaan relatif tenang melalui gencatan senjata tidak rasmi sebahagian besarnya bertahan sehingga serangan terbaharu berlaku.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.