
LONDON, 17 Julai – Rusia dan Ukraine saling berbalas serangan dalam tempoh 24 jam lalu, ketika konflik antara kedua-dua negara terus berlarutan.
- Kementerian Pertahanan Rusia serang 147 sasaran termasuk infrastruktur bahan api, tenaga, pengangkutan, penyimpanan dron, penempatan tentera Ukraine dan upahan asing.
- Sistem pertahanan udara Rusia memintas dan memusnahkan lapan bom berpanduan, lima roket HIMARS serta 802 dron bersayap tetap.
- Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov kata tiada prospek rundingan disambung segera, namun Moscow kekal terbuka dan menghargai usaha Turkiye sebagai pengantara.
Kementerian Pertahanan Rusia dalam laporan terbaharu memaklumkan, tentera negara itu menyerang pelbagai sasaran di 147 kawasan termasuk infrastruktur bahan api, tenaga dan pengangkutan, lokasi penyimpanan dron jarak jauh selain pusat penempatan sementara tentera Ukraine serta tentera upahan asing.
Menurut laporan itu, sistem pertahanan udara Rusia turut memintas dan memusnahkan lapan bom udara berpanduan, lima roket HIMARS buatan Amerika Syarikat (AS) serta 802 dron bersayap tetap.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky melaporkan, tentera Rusia melancarkan serangan besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron pada awal pagi Khamis, menyebabkan beberapa kematian serta kecederaan di Kiev dan beberapa kawasan lain.
Pada hari sama, Staf Am Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan pasukannya menyerang enam kapal tangki minyak dan dua kapal tunda yang mempunyai kaitan dengan kepentingan Rusia di Laut Hitam serta Laut Azov.
Menurut kenyataan itu, tentera Ukraine turut menyasarkan depoh bahan api Rusia dan beberapa kemudahan lain di wilayah termasuk Donetsk.
Dalam perkembangan berasingan, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Rusia masih belum melihat sebarang prospek bagi penyambungan semula rundingan dengan Ukraine dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Moscow kekal terbuka terhadap proses rundingan serta menghargai usaha Turkiye sebagai pengantara dalam konflik berkenaan.- REUTERS