Risiko penularan hantavirus antara manusia rendah 

Foto REUTERS

PRAIA, 8 Mei -Risiko penularan hantavirus antara manusia masih rendah, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai dinasihatkan meningkatkan kesedaran tentang hantavirus dan penyakit yang boleh merebak melalui tikus.
  • Kebimbangan serius muncul jika berlaku penularan berterusan antara manusia melalui kontak rapat.
  • Beberapa negara mengesan individu yang meninggalkan kapal persiaran MV Hondius untuk elak penularan lanjut.
  • Pihak berkuasa memperkuat pemantauan rentas sempadan, ujian saringan dan pemberian maklumat terkini kepada orang ramai.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kesedaran terhadap virus tersebut serta penyakit lain yang boleh merebak melalui tikus.

Ketua Pemantauan dan Risikan Penyakit agensi itu, Merawi Aragaw berkata, kebimbangan serius hanya akan timbul sekiranya berlaku penularan berterusan dari manusia ke manusia.

“Risiko penularan antara manusia adalah rendah ketika ini. Namun, keadaan akan menjadi serius jika kita mula melihat penularan berterusan penyakit ini antara manusia,” katanya pada sidang media, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beberapa negara di seluruh dunia giat mengesan individu yang meninggalkan kapal persiaran MV Hondius sebelum kapal itu terkandas di perairan Cape Verde awal minggu ini, bagi mengelakkan penularan lanjut wabak tersebut.

Tiga individu dilaporkan maut dalam kejadian itu, membabitkan pasangan warga Netherlands dan seorang warga Germany.

Menurut World Health Organization (WHO), seramai lapan individu termasuk seorang warga Switzerland dipercayai dijangkiti virus berkenaan.

Virus yang dikesan pada mangsa disahkan sebagai strain Andes, iaitu jenis hantavirus yang boleh merebak antara manusia melalui kontak rapat.

Pakar kesihatan menegaskan penularan virus itu sangat jarang berlaku, namun insiden berkenaan menyebabkan pihak berkuasa kesihatan meningkatkan tahap berjaga-jaga.

Pengarah Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik Africa CDC, Tolbert G. Nyenswah berkata, pihak kesihatan awam perlu memperkukuh pemantauan rentas sempadan serta ujian saringan bagi mengekang penularan penyakit itu.

“Africa CDC akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai. Risiko kepada Africa adalah rendah, tetapi bukan sifar,” katanya. – REUTERS