Trump beri EU tempoh hingga 4 Julai patuhi perjanjian perdagangan

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump/ AFP

ISTANBUL, 8 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis memberi amaran kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya memansuhkan tarif menjelang ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika atau berdepan halangan perdagangan yang jauh lebih tinggi, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump beri EU sehingga 4 Julai 2026 untuk patuhi perjanjian perdagangan, dengan amaran tindakan balas jika gagal.
  • Beliau dakwa EU janji turunkan tarif ke sifar menurut Perjanjian Turnberry, namun komitmen itu belum ditunaikan.
  • Parlimen EU lulus undang-undang pelaksanaan; negara anggota masih rundingkan rangka kerja, Von der Leyen kata kemajuan dibuat.

“Saya telah menunggu dengan sabar untuk EU memenuhi bahagian mereka dalam perjanjian perdagangan bersejarah yang kami persetujui di Turnberry, Scotland, perjanjian perdagangan terbesar pernah dimeterai,” tulis Trump menerusi platform media sosial Truth Social, selepas bercakap melalui telefon dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

Trump mendakwa EU telah berjanji untuk mengurangkan tarif kepada sifar dalam perjanjian perdagangan yang ditandatangani kedua-dua pihak di United Kingdom tahun lepas, namun komitmen itu masih belum ditunaikan.

Beliau berkata pemimpin Eropah diberi tempoh sehingga 4 Julai 2026 untuk mematuhi perjanjian berkenaan.

Sekiranya blok 27 negara itu gagal memenuhi tarikh akhir tersebut, Trump mengancam untuk menaikkan tarif AS ke paras yang “jauh lebih tinggi.”

Perjanjian Turnberry pada 27 Julai 2025 menetapkan kadar tarif 15 peratus ke atas kebanyakan eksport Eropah ke AS, sebagai pertukaran kepada tarif sifar bagi barangan perindustrian dan pertanian utama Amerika yang memasuki EU.

Walaupun Parlimen EU meluluskan undang-undang pelaksanaannya pada Mac dengan undian 417 menyokong berbanding 154 menentang, negara anggota masih berunding untuk memuktamadkan rangka kerja itu susulan beberapa syarat yang dilampirkan.

Von der Leyen mengesahkan perbualan telefon yang disifatkannya sebagai “sangat baik” dengan Trump dan menyatakan di X bahawa kedua-dua pihak “kekal komited sepenuhnya” terhadap pelaksanaan perjanjian itu, sambil menegaskan “kemajuan baik sedang dicapai ke arah pengurangan tarif menjelang awal Julai.”

Politico, memetik seorang individu yang mengetahui mesyuarat itu, melaporkan pada Khamis bahawa rundingan antara anggota Parlimen EU dan kerajaan mengenai pelaksanaan perjanjian dengan AS berakhir pada malam Rabu tanpa sebarang persetujuan.

Trump berkata minggu lepas bahawa Washington akan menaikkan tarif kepada 25 peratus ke atas kereta dan trak yang diimport dari EU, dengan mendakwa blok itu tidak mematuhi perjanjian perdagangan berkenaan.

Selain perdagangan, Trump berkata beliau dan von der Leyen turut membincangkan perang Iran.- BERNAMA-ANADOLU