Lima kes hantavirus di kapal persiaran Atlantik – WHO

Foto REUTERS

GENEVA, 8 Mei -Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan terdapat lima kes hantavirus membabitkan penularan di atas kapal persiaran Atlantik, manakala tiga lagi kes masih disyaki, termasuk tiga kematian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Spesies terlibat ialah virus Andes, satu-satunya hantavirus yang boleh merebak antara manusia.
  • Tempoh inkubasi sehingga enam minggu, jadi lebih banyak kes mungkin muncul; WHO menunggu penjujukan genom penuh.
  • WHO: penularan boleh dikawal dengan langkah kesihatan awam berkesan; situasi bukan permulaan epidemik atau pandemik.

“Spesies hantavirus yang terlibat ialah virus Andes yang ditemukan di Latin America,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media di Geneva pada Khamis.

Beliau berkata, ketika ini tiada penumpang atau kru lain di atas kapal MV Hondius yang menunjukkan gejala.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran lebih banyak kes mungkin dilaporkan memandangkan tempoh inkubasi virus Andes, iaitu satu-satunya spesies hantavirus yang boleh merebak antara manusia, boleh mencecah sehingga enam minggu.

Kapal berbendera Belanda itu berlepas dari Ushuaia di selatan Argentina pada 1 April lalu bagi pelayaran merentasi Lautan Atlantik menuju ke Cape Verde.

Pada Rabu, kapal itu meneruskan pelayaran ke arah utara dari Cape Verde menuju Tenerife bagi membolehkan penumpang dihantar pulang.

Menurut Tedros Adhanom, beliau sentiasa berhubung dengan kapten kapal dan dimaklumkan bahawa semangat penumpang semakin pulih selepas kapal kembali bergerak.

WHO percaya penularan itu boleh dikawal sekiranya langkah kesihatan awam dilaksanakan dengan berkesan.

Hantavirus lazimnya merebak melalui tikus yang dijangkiti, terutama menerusi air kencing, najis dan air liur haiwan berkenaan.

Strain Andes merupakan satu-satunya hantavirus yang mempunyai rekod penularan dari manusia ke manusia.

Sementara itu, Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Epidemik WHO, Maria Van Kerkhove menegaskan situasi itu tidak sama seperti penularan COVID-19.

“Ini bukan permulaan epidemik dan bukan juga pandemik. Virus ini merebak dengan cara yang sangat berbeza,” katanya.

WHO kini menunggu keputusan penjujukan genom penuh virus dari South Africa, Switzerland dan Dakar bagi mengenal pasti corak penularan berbanding wabak terdahulu.

Setakat ini, WHO memaklumkan tiada perubahan luar biasa dikesan pada virus tersebut. – AFP