Risiko banjir besar: Tasik di sempadan China-Nepal berpotensi pecah

Foto AFP

BEIJING, 28 Ogos – Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran risiko tahap tinggi berlakunya limpahan banjir besar berpunca daripada sebuah tasik takungan yang terbentuk akibat kejadian tanah runtuh di kawasan sempadan China-Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paras air tasik dijangka meningkat dalam tiga hari akan datang akibat hujan berterusan.
  • Kemuncak pelepasan air dijangka berlaku sekitar 1 September.
  • Aliran masuk dianggarkan sehingga tiga juta meter padu dalam tempoh tiga hari.
  • Risiko pecah tasik boleh menghantar banjir deras ke hilir termasuk Pelabuhan Gyirong; 499 penduduk dan 555 pelancong dipindahkan.

Pihak berkuasa pengurusan air melaporkan paras air tasik berkenaan dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga hari akan datang berikutan hujan berterusan.

“Kemuncak pelepasan air dijangka berlaku sekitar 1 September ini,” tegasnya.

Jumlah aliran air yang masuk ke dalam tasik berkenaan dianggar boleh mencecah hingga tiga juta meter kubik dalam tempoh tiga hari ini berikutan taburan hujan berterusan.

Keadaan tersebut sekali gus meningkatkan risiko struktur tasik itu pecah dan menghantar aliran banjir deras ke kawasan hilir termasuk Pelabuhan Gyirong dan kawasan sekitar.

Tasik takungan berkenaan terbentuk selepas kejadian tanah dan lumpur runtuh melanda hab sempadan Gyirong di wilayah Tibet pada Rabu lalu, yang menyebabkan ratusan penduduk dilaporkan hilang.

Sementara itu, penyiar rasmi CCTV melaporkan setakat pagi Jumaat, seramai 499 penduduk tempatan serta 555 pelancong telah berjaya dipindahkan keluar dari zon bencana.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan kewarganegaraan pelancong yang terlibat.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.