Operasi selamatkan 100 mangsa terperangkap dalam terowong hidroelektrik Nepal giat dilakukan

Foto AFP

KATHMANDU, 28 Ogos – Pasukan penyelamat helikopter tentera Nepal sedang berusaha menyelamatkan kira-kira 100 mangsa yang terperangkap di dalam terowong projek hidroelektrik selepas kawasan berkenaan dilanda banjir berikutan tanah runtuh pada Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi menyelamat giat; dua helikopter dihantar, usaha sukar kerana cuaca buruk mengganggu pengesanan pintu terowong.
  • Tentera sebelum ini berjaya membawa keluar 350 pekerja dan penduduk tempatan; baki mangsa masih terkandas dalam terowong.
  • USGS mengesahkan runtuhan glasier punca banjir; perubahan iklim meningkatkan risiko banjir tasik glasier di rantau ini.

Jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet mengesahkan fokus utama pasukan keselamatan kini adalah bagi mengesan dan mengeluarkannya mangsa di projek hidroelektrik Trishuli 3A.

“Dua helikopter dihantar ke lokasi kejadian. Namun, operasi menyelamat berdepan laluan sukar berikutan cuaca buruk yang menjejaskan usaha mengesan pintu masuk terowong tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Nepal, pasukan tentera sebelum ini telah berjaya membawa keluar 350 pekerja dan penduduk tempatan yang terperangkap dalam keadaan berisiko tinggi akibat limpahan air deras.

Usaha memindahkan baki mangsa yang masih terkandas di dalam terowong berkenaan sedang giat dijalankan.

Beberapa pekerja yang berjaya keluar menceritakan tragedi terbabit yang berlaku dalam tempoh sangat singkat.

“Saya selamat kerana berada di dalam terowong ketika banjir melanda. Namun, pegawai kanan yang berada di bahagian luar semuanya telah dihanyutkan arus deras,” ujar Tamang yang terpaksa menanti lebih 24 jam sebelum diselamatkan.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengesahkan bencana banjir dahsyat yang berlaku pada Rabu lalu berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran sisa ais berkuasa tinggi.

Perubahan iklim global dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan risiko banjir tasik glasier di rantau berkenaan.

Kejadian ini telah memutuskan laluan perhubungan utama termasuk jambatan dan jalan raya di kawasan pergunungan utara Nepal, selain merosakkan pelbagai infrastruktur hidroelektrik penting negara tersebut.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.