Reaksi pemimpin dunia susulan insiden tembakan majlis makan malam

Donald Trump menjawab pertanyaan media di White House selepas insiden tembakan di Washington/Foto REUTERS

WASHINGTON/BERLIN, 26 April – Pemimpin dari seluruh dunia menyatakan rasa terkejut dan lega pada awal Ahad selepas seorang suspek penyerang ditahan susulan insiden tembakan pada majlis makan malam gala media yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Washington.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin dunia mengutuk keras keganasan dan menuntut penghormatan terhadap institusi demokrasi serta kebebasan media.
  • Ramai pemimpin menyatakan rasa lega kerana tiada wartawan atau pegawai cedera; seorang ejen Perkhidmatan Rahsia terselamat kerana jaket kalis peluru.
  • Keprihatinan tegas dari pemimpin Eropah: keganasan tidak mempunyai tempat dalam demokrasi, penyelesaian melalui perbincangan bukan senjata.
  • Seruan agar keganasan politik tidak dijadikan alat; solidariti dan keamanan sebagai jalan hadapan.

Bunyi tembakan kedengaran ketika Majlis Makan Malam tahunan Persatuan Koresponden White House sedang berlangsung di Washington Hilton pada Sabtu malam, menyebabkan pasukan keselamatan segera memindahkan Trump, isterinya dan pegawai kanan lain dari dewan berkenaan.

Pemimpin dunia memberi reaksi terhadap laporan bahawa tiada pegawai atau wartawan yang cedera, manakala seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia yang terkena tembakan dilaporkan terselamat hasil penggunaan jaket kalis peluru, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perdana Menteri Britain Keir Starmer berkata beliau berasa “amat lega” kerana Presiden, Wanita Pertama dan semua yang hadir berada dalam keadaan “selamat”.

“Saya terkejut dengan kejadian di Majlis Makan Malam Koresponden White House di Washington malam tadi,” tulis beliau di laman X. “Sebarang serangan terhadap institusi demokrasi atau kebebasan media mesti dikecam sekeras-kerasnya.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyifatkan serangan itu sebagai “tidak boleh diterima”, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata “keganasan tidak mempunyai tempat dalam politik, sampai bila-bila.”

Von der Leyen berkata beliau berasa “lega” kerana Trump, isterinya dan semua hadirin berada dalam keadaan “selamat”.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sánchez, antara pengkritik paling lantang di Eropah terhadap perang AS-Israel menentang Iran, turut mengutuk serangan itu.

“Keganasan bukan penyelesaiannya. Kemanusiaan hanya akan maju melalui demokrasi, kehidupan bersama dan keamanan,” tulis beliau.

Canselor Jerman Friedrich Merz turut mengecam insiden tembakan pada majlis makan malam media di Washington itu.

“Keganasan tidak mempunyai tempat dalam demokrasi. Kita membuat keputusan melalui majoriti, bukan dengan senjata,” tulis Merz di aplikasi X pada Ahad.

“Saya mengutuk cubaan serangan di Washington dan berasa lega kerana Presiden Trump, Wanita Pertama Melania Trump dan semua yang hadir selamat,” katanya.

Perdana Menteri Kanada Mark Carney, antara yang terawal memberi reaksi terhadap kejadian dramatik di ibu negara AS itu, turut melahirkan rasa lega kerana semua orang selamat.

“Keganasan politik tidak mempunyai tempat dalam mana-mana demokrasi dan ingatan saya bersama semua pihak yang terkesan dengan kejadian yang membimbangkan ini,” tulisnya di X.

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum juga menggunakan platform X untuk menyatakan rasa hormat beliau. “Keganasan tidak seharusnya menjadi jawapan,” tulis beliau. – BERNAMA-dpa