Piala Uber: Malaysia mara ke suku akhir selepas 16 tahun

Jie Yu dan Zi Yu melengkapkan perlawanan dengan kemenangan straight set. Malaysia mara ke suku akhir Piala Uber buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun/Foto BAM

HORSENS, 26 April – Skuad badminton wanita Malaysia melakar kebangkitan bermakna apabila berjaya mara ke suku akhir Piala Uber buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun selepas membelasah Afrika Selatan 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan B di Forum Horsens, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • K. Letshanaa memulakan pencapaian cemerlang, menewaskan Johanita Scholtz 21-6, 21-10 dalam 22 minit.
  • Wong Ling Ching menggandakan kedudukan negara dengan kemenangan mudah 21-8, 21-4 dalam 19 minit.
  • Malaysia membuka kempen Piala Uber 2026 dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Turkiye.

Pemain perseorangan utama negara K. Letshanaa yang kini berada di ranking ke-34 dunia membuka langkah cemerlang apabila mudah menewaskan Johanita Scholtz (ranking ke-160) 21-6, 21-10 dalam tempoh 22 minit.

Aksi seterusnya menyaksikan Wong Ling Ching tidak berdepan masalah untuk menggandakan kedudukan negara apabila menundukkan Chloe Lai 21-8, 21-4 dalam 19 minit, sebelum Siti Zulaikha Muhammad Azmi mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menundukkan Elme De Villiers 21-11, 21-5.

Bagaimanapun, Malaysia tidak berhenti setakat itu.

Beregu wanita muda negara Ong Xin Yee–Carmen Ting berdepan tentangan lebih sengit sebelum menundukkan gandingan Johanita Scholtz–Amy Ackerman 21-16, 21-14 dalam 31 minit untuk menyumbang mata keempat negara.

Pasangan debutan Chong Jie Yu–Low Zi Yu kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia apabila menewaskan Elme De Villiers–Anri Schoonees 21-12, 21-5 dalam 21 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menyamai pencapaian terbaik mereka dalam saingan Piala Uber apabila mara ke suku akhir buat kali ketiga selepas edisi 2004, 2008 dan 2010.

Sebelum ini, Malaysia membuka kempen Piala Uber 2026 dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas Turkiye semalam.

Skuad negara dijadual menutup saingan Kumpulan B menentang juara enam kali, Jepun, esok.-BERNAMA