Presiden Trump tangguh serangan ke atas Iran, rundingan baharu sedang berlangsung

Tentera AS bersiap siaga melancarkan serangan berskala besar jika rundingan gagal /Foto AFP

WASHINGTON, 19 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penangguhan rancangan serangan ketenteraan terhadap Iran yang dijadualkan pada Selasa selepas menerima permintaan daripada pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan antara pihak terlibat berada pada tahap "sangat serius" dan berpotensi menghasilkan perjanjian yang boleh diterima AS serta sekutunya.
  • Fokus utama rundingan adalah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.
  • Tentera AS kekal bersiap sedia untuk serangan berskala besar jika rundingan gagal, arahan diberi kepada pemimpin ketenteraan.
  • Iran mempunyai dron dan peluru berpandu mampu menyerang kemudahan strategik, negara-negara Teluk bimbang mengenai serangan balas.

Menerusi kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata rundingan antara pihak terlibat kini berada pada tahap “sangat serius” dan berpotensi menghasilkan satu perjanjian yang boleh diterima AS serta sekutunya.

Menurut beliau, fokus utama rundingan itu adalah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

“Perjanjian ini akan memastikan tiada senjata nuklear untuk Iran,” katanya.

Bagaimanapun, Trump menegaskan tentera AS kekal bersiap siaga untuk melancarkan serangan berskala besar sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan.

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth serta Panglima Angkatan Tentera AS supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tindakan ketenteraan.

Penangguhan serangan itu dipercayai berkait rapat dengan kebimbangan negara-negara Teluk terhadap kemungkinan serangan balas Iran yang boleh menjejaskan keselamatan rantau berkenaan.

Iran dilaporkan masih memiliki sejumlah besar dron dan peluru berpandu yang mampu menyasarkan kemudahan strategik termasuk lapangan terbang, fasiliti minyak dan loji penyahgaraman air yang menjadi sumber utama bekalan air bersih di rantau Teluk.

Seorang pegawai kanan tentera Iran turut memberi amaran kepada Washington supaya tidak melakukan “kesilapan strategik” yang boleh mencetuskan konflik lebih besar.

Walaupun Trump menyifatkan perkembangan itu sebagai “sangat positif”, beliau mengakui rundingan terdahulu juga pernah hampir mencapai persetujuan sebelum gagal pada saat akhir.

Menurut beliau, negara-negara Teluk meminta AS menangguhkan serangan selama beberapa hari bagi memberi ruang kepada rundingan diteruskan.

Konflik antara Iran dan gabungan AS-Israel dilaporkan bermula pada 28 Februari lalu apabila serangan udara besar-besaran dilancarkan terhadap beberapa sasaran di Iran sebelum Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta pangkalan tentera AS di rantau Teluk

Dalam perkembangan berkaitan, sokongan rakyat Amerika terhadap konflik tersebut dilaporkan semakin merosot.

Tinjauan New York Times/Siena mendapati 64 peratus pengundi berpendapat keputusan untuk berperang dengan Iran adalah tindakan yang salah, manakala kadar sokongan terhadap pentadbiran Trump kini berada pada sekitar 37 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.