Perompak jalanan curi wang tunai AS$2.7 juta di Tokyo

Foto AFP

TOKYO, 30 Januari – Tiga perompak mencuri beg pakaian yang menyimpan wang tunai bernilai AS$2.7 juta atau kira-kira 420 juta yen di tengah Tokyo, satu jenayah yang jarang berlaku di kota metropolis Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden berlaku sekitar 9:30 malam berhampiran stesen Ueno, kawasan popular pelancong.
  • Pencuri menggunakan semburan lada untuk merampas beg pakaian yang mengandungi wang tunai.
  • Mangsa ialah sekumpulan lima warga China dan Jepun yang hendak meletakkan beg ke dalam kenderaan.
  • Polis menyiasat kemungkinan kaitan dengan serangan lain melibatkan semburan lada dan wang tunai.

Menurut jurucakap Polis Metropolitan Tokyo, kejadian berlaku kira-kira pukul 9:30 malam berhampiran stesen Ueno, kawasan yang popular dalam kalangan pelancong.

Pencuri menggunakan semburan lada untuk merampas bagasi mengandungi wang tersebut.

Polis enggan memberikan butiran lanjut tentang kes itu, tetapi media tempatan mendedahkan mangsa adalah sekumpulan lima warga China dan Jepun yang cuba meletakkan beg pakaian di dalam kenderaan.

Tidak jelas mengapa kumpulan itu membawa wang tersebut.

Fuji Television memaklumkan mangsa memberitahu penyiasat bahawa wang tunai itu dihantar ke lokasi pertukaran mata wang.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang mempunyai wang tunai sebanyak 190 juta yen turut diserang dengan semburan lada oleh sekumpulan tiga lelaki pada awal pagi Jumaat.

Kejadian berlaku di sebuah garaj tempat letak kereta di lapangan terbang Haneda, Tokyo.

Polis sedang menyiasat kaitan antara kedua-dua kes itu. – AFP