
LONDON, 19 Julai – Ribuan penyokong Palestin berhimpun di sini pada Sabtu bagi mendesak bakal Perdana Menteri Britain Andy Burnham mengambil tindakan tegas terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza.
- Desakan gencatan senjata segera dan berkekalan terhadap operasi ketenteraan Israel di Gaza.
- Tuntutan sekatan terhadap Israel dan penghentian eksport senjata Britain sebagai langkah tegas.
- Kritikan kepada Burnham supaya jelaskan tindakan pentadbirannya dan bukan hanya kenyataan umum.
- Tekanan supaya sokongan praktikal bagi penubuhan negara Palestin, bukan sekadar retorik penyelesaian dua negara.
Antara tindakan yang dituntut ialah mendesak gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, mengenakan sekatan terhadap Israel, menghentikan eksport senjata Britain serta memperkukuh sokongan terhadap penubuhan negara Palestin.
Salah seorang peserta demonstrasi, Hilary Smith berkata Burnham perlu menjelaskan langkah yang akan diambil oleh pentadbirannya berhubung konflik itu.
“Burnham berkata kerajaan UK hanya melakukan sedikit kesilapan, tetapi beliau tidak menyatakan apa yang akan dilakukannya.
“Beliau juga tidak menyebut bahawa ini adalah satu genosid, sedangkan kita mempunyai tanggungjawab sebagai sebuah negara untuk menghalangnya,” katanya.
Seorang lagi peserta, Vaseem Ahmed berkata kesungguhan Burnham hanya dapat dinilai melalui tindakan, termasuk sekatan terhadap Israel dan pelaksanaan gencatan senjata sepenuhnya.
“Jika beliau hanya bercakap secara umum mengenai penyelesaian dua negara tetapi tidak melakukan apa-apa yang mengubah realiti di Palestin, keadaan akan tetap sama,” katanya.
Demonstrasi itu berlangsung selepas Parti Buruh Britain mengesahkan pada Jumaat bahawa Burnham, bekas Datuk Bandar Greater Manchester, dipilih sebagai pemimpin baharu parti itu.
Beliau dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Julai susulan peletakan jawatan Keir Starmer. – REUTERS