Novo Nordisk-OpenAI jalin kerjasama, percepat pembangunan ubat baharu

Foto AFP

COPENHAGEN, 14 April– Gergasi farmaseutikal Denmark, Novo Nordisk mengumumkan kerjasama strategik dengan OpenAI, bagi mempercepat pembangunan ubat-ubatan baharu menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Memanfaatkan AI untuk menguji rawatan dan vaksin baharu dengan lebih pantas serta pada kos lebih rendah.
  • Projek rintis merentasi pelbagai bidang perniagaan; integrasi penuh dijangka menjelang akhir 2026.
  • Inisiatif dilancarkan ketika persaingan sengit Eli Lilly dan kehadiran versi tiruan ubat meningkatkan tekanan pasaran.

Usaha sama itu menyasarkan untuk memanfaatkan AI bagi menguji rawatan serta vaksin baharu dengan lebih pantas pada kos yang lebih rendah.

Langkah itu dilihat sebagai usaha syarikat untuk kekal di hadapan dalam transformasi digital sektor kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman menyatakan bahawa kolaborasi tersebut bakal membantu Novo Nordisk mempercepatkan penemuan saintifik dan mencorakkan semula masa depan penjagaan pesakit.

Projek rintis dijangka akan dilancarkan merentasi pelbagai bidang perniagaan dengan integrasi penuh menjelang akhir 2026.

Keputusan berkenaan dibuat ketika Novo Nordisk berdepan persaingan sengit daripada pesaing utama di Amerika Syarikat (AS), Eli Lilly, serta kemunculan versi tiruan ubat-ubatan mereka di pasaran.

Secara purata, pembangunan sesuatu ubat boleh memakan masa lebih sedekad dengan kos penyelidikan mencecah $2 bilion, namun hanya satu daripada sepuluh calon ubat yang biasanya berjaya menembusi pasaran. -AFP