
MALUKU UTARA, 9 Mei – Pihak berkuasa Indonesia menyambung semula operasi mencari pada Sabtu bagi mengesan tiga pendaki yang hilang selepas letusan Gunung Dukono di Pulau Halmahera, di sini.
- Sekurang-kurangnya 100 anggota penyelamat, tentera, polis dan dron digerakkan dalam operasi mencari.
- Usaha pencarian diteruskan walaupun terdapat laporan awal kemungkinan kematian.
- Mangsa yang terselamat mendakwa beberapa individu terkorban; pihak penyelamat belum mengesahkannya.
- Kementerian Luar Singapura dan kedutaan Jakarta bekerjasama memberi bantuan konsular kepada keluarga terlibat.
Ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani berkata sekurang-kurangnya 100 anggota penyelamat, tentera dan polis, selain dron telah digerakkan dalam operasi tersebut bagi mengesan dua warga Singapura dan seorang warga Indonesia.
Beliau berkata usaha pencarian masih diteruskan walaupun terdapat laporan awal mengenai kemungkinan kematian.
Ketua polis tempatan, Erlichson Pasaribu, sebelum ini memaklumkan mangsa yang terselamat mendakwa tiga individu, termasuk dua warga Singapura, terkorban dalam insiden pada Jumaat. Bagaimanapun, sehingga hari ini (Sabtu) pihak penyelamat belum mengesahkan kematian tersebut.
Gunung berapi di wilayah Maluku utara itu mula meletus pada pagi Jumaat, mengeluarkan abu setinggi sehingga 10 kilometer ke udara, menurut agensi vulkanologi Indonesia.
Sementara itu, Kementerian Luar Singapura bersama kedutaan di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan maklumat lanjut serta memberi bantuan konsular kepada mangsa dan keluarga terlibat.-REUTERS