Hizbullah lancar serangan balas ke pangkalan tentera Israel

Bangunan yang musnah dalam serangan Israel di selatan Beirut/ AFP

BEIRUT, 9 Mei – Hizbullah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke beberapa pangkalan tentera Israel sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu rejim Zionis ke atas Beirut serta serangan berterusan di selatan Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan Israel pada Jumaat.
  • Kementerian Kesihatan: serangan di empat lokasi selatan mengorbankan 10 orang, termasuk dua kanak-kanak dan tiga wanita.
  • Rundingan antara Lubnan dan Israel dijadual di Washington minggu depan bagi membincangkan usaha menamatkan konflik sejak 2 Mac.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam serangan Israel pada Jumaat.

Hizbullah menerusi kenyataan memberitahu satu peluru berpandu disasarkan ke sebuah pangkalan tentera di selatan bandar Nahariya, Israel sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk serangan ke atas pinggir selatan Beirut dan kawasan awam di selatan Lubnan.

Beberapa jam kemudian, kumpulan yang disokong Iran itu melancarkan dron ke satu lagi pangkalan tentera di utara Israel.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan serangan Israel di empat lokasi di selatan negara itu mengorbankan 10 orang, termasuk dua kanak-kanak dan tiga wanita.

Pasukan pertahanan awam Lubnan turut memaklumkan seorang anggotanya terbunuh dalam satu lagi serangan di selatan negara itu.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika Lubnan dan Israel dijadual mengadakan rundingan di Washington, minggu depan bagi membincangkan usaha menamatkan konflik yang berlarutan sejak 2 Mac lalu.

Sejak 2 Mac, serangan Israel telah mengorbankan lebih 2,750 orang di Lubnan, termasuk puluhan mangsa selepas gencatan senjata diumumkan.-AFP