
ALBANY, 6 Jun – Aktiviti riadah sebuah keluarga bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat kecederaan parah selepas diserang seekor jerung sepanjang 4.5 meter di Pulau Michaelmas, di sini pada Sabtu (6 Jun).
- Ahli keluarga membawa mangsa ke darat untuk rawatan kecemasan; pasukan paramedik mengesahkan mangsa meninggal di tempat kejadian.
- Mangsa melakukan aktiviti memanah ikan bersama keluarga di luar pesisir pantai selatan negeri.
- Seekor jerung daripada spesies tidak dikenal pasti dikesan orang awam berhampiran pulau tidak lama selepas serangan.
- Insiden ini merupakan serangan jerung maut ketiga di Australia dalam tempoh tiga minggu, dengan dua kejadian maut sebelumnya dilaporkan.
Lelaki berusia 35 tahun itu sempat dibawa ke darat oleh ahli keluarganya untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu, mangsa sedang melakukan aktiviti memanah ikan (‘spearfishing’) bersama keluarganya di luar pesisir pantai selatan negeri itu.
Lokasi pulau yang merupakan kawasan perlindungan alam semula jadi itu terletak berhampiran bandar Albany, kira-kira 388 kilometer di selatan ibu negeri, Perth.
Menurut pihak berkuasa tempatan, seekor jerung daripada spesies yang tidak dikenal pasti dikesan oleh orang awam berhampiran pulau berkenaan tidak lama selepas serangan berlaku.
Insiden terbaharu itu merupakan serangan jerung maut yang ketiga dilaporkan di Australia dalam tempoh hanya tiga minggu.
Pada 24 Mei lepas, seorang lelaki berusia 39 tahun maut diserang haiwan pemangsa itu ketika memancing di Great Barrier Reef, selang 10 hari selepas seorang lelaki berusia 38 tahun maut dibaham jerung di sebuah pulau berhampiran Perth.-REUTERS