Gencatan senjata: Delegasi Hamas tiba di Kaherah

FOTO REUTERS

MESIR,6 Jun – Kumpulan Hamas mengumumkan delegasi kepimpinannya telah tiba di Kaherah, Mesir bagi memulakan pusingan baharu rundingan perjanjian gencatan senjata di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi Hamas diketuai Khalil al-Hayya, disertai Zaher Jabarin, Hussam Badran dan Ghazi Hamad.
  • Rundingan di Kaherah bertujuan menyelesaikan pelaksanaan fasa pertama, menghentikan serangan Israel dan membincangkan mekanisme beralih ke fasa kedua.
  • Delegasi akan bertemu kumpulan Palestin lain dan pengantara untuk menyelaraskan pendirian nasional serta meneruskan rundingan pelucutan senjata.

Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa delegasi tersebut diketuai oleh Pemimpin Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya, dan disertai oleh Ketua Hamas di Tebing Barat, Zaher Jabarin, serta ahli biro politik, Hussam Badran dan Ghazi Hamad.

Delegasi berkenaan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Mesir serta pihak pengantara bermula Sabtu, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata tersebut.

“Rundingan kali ini akan memberi tumpuan untuk menyelesaikan pelaksanaan fasa pertama perjanjian, menghentikan serangan berterusan Israel ke atas Gaza, selain meneliti mekanisme bagi beralih ke fasa kedua.

“Delegasi itu juga dilapor akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan Palestin yang lain bagi menyelaras satu pendirian nasional yang bersatu dalam mendepani cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.

Lawatan kerja itu dilakukan ketika beberapa perkara utama dalam perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober 2025 masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Fasa pertama perjanjian tersebut sebelum ini merangkumi pertukaran tahanan dan tebusan, kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu, serta pengunduran tentera Israel dari kawasan-kawasan tertentu.

Sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa, serangan Israel di Gaza dilaporkan telah mengorbankan 947 nyawa dan mencederakan 2,935 orang.

Pada pertengahan Januari lepas, Amerika Syarikat mengumumkan pelancaran cadangan fasa kedua pelan keamanan yang merangkumi pengunduran penuh tentera Israel, pelucutan senjata Hamas, permulaan usaha membina semula Gaza, dan penubuhan badan tadbir urus peralihan di wilayah berkenaan.

Pihak pengantara gencatan senjata Gaza merancang untuk menyambung semula rundingan mengenai pelucutan senjata dengan Hamas di Mesir, minggu ini. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.