
BARCELONA, 22 Ogos – Kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan berikutan kejadian kebakaran hutan di timur Sepanyol, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- Kebakaran di sekitar Gátova dipercayai berpunca daripada panahan petir; api masih belum dapat dikawal, lebih 400 hektar terbakar.
- Unit Kecemasan Tentera dan pelbagai pasukan bomba dikerahkan, disokong helikopter dan pesawat pemadam kebakaran.
- Keadaan kemarau dan suhu tinggi rekod, sebahagiannya akibat perubahan iklim, menjadikan tumbuhan sangat mudah terbakar.
Menteri Perlindungan Awam Komuniti Autonomi Valencia, Juan Carlos Valderrama, memberitahu wartawan pada Sabtu bahawa bas telah disediakan bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Kebakaran di sekitar Kampung Gátova, berhampiran Valencia, dipercayai berpunca daripada panahan petir pada lewat Khamis dan api masih belum dapat dikawal. Sehingga petang Jumaat, lebih 400 hektar kawasan telah hangus terbakar.
Gátova secara kebiasaannya mempunyai populasi sekitar 450 orang, namun jumlah itu meningkat dua kali ganda sepanjang musim panas berikutan kehadiran pelancong, lapor penyiar rasmi Sepanyol, RTVE. Rakaman televisyen menunjukkan api telah menghampiri kawasan penempatan.
Unit Kecemasan Tentera (UME) dan pelbagai pasukan bomba dikerahkan ke kawasan berbukit dan sukar diakses itu, disokong oleh helikopter dan pesawat pemadam kebakaran.
Keadaan kemarau serta suhu tinggi yang mencatat rekod – sebahagiannya akibat perubahan iklim – menyebabkan tumbuh-tumbuhan sangat mudah terbakar.
Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Suruhanjaya Eropah (EFFIS) memaklumkan bahawa lebih 297,000 hektar kawasan telah terbakar dalam 425 kejadian kebakaran hutan di Sepanyol sepanjang tahun ini.
Sementara itu, di kawasan lebih ke utara di Costa Daurada, tiga orang cedera – seorang daripadanya parah – selepas sebuah tembok runtuh di Pekan Roda de Berà berhampiran Tarragona berikutan hujan lebat, menurut perkhidmatan bomba.
Taburan hujan sehingga 200 liter semeter persegi direkodkan dalam tempoh beberapa jam sahaja di kawasan itu pada awal pagi Sabtu. -BERNAMA-dpa