Kesan perang Asia Barat: IMF sedia dana bantuan sehingga AS$50 bilion

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva/AFP

WASHINGTON, 10 April – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menurunkan unjuran pertumbuhan global ekoran perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • IMF memberi amaran konflik akan meninggalkan kesan parut mendalam meskipun gencatan senjata rapuh.
  • IMF sedia bantuan kewangan segera sehingga AS$50 bilion; permintaan sokongan jangka pendek dijangka AS$20 hingga AS$50 bilion.
  • Bank Dunia mampu menyediakan pembiayaan pantas AS$25 bilion, berpotensi meningkat hingga AS$60 bilion untuk jangka panjang.
  • Perang menjejaskan rantaian bekalan, mencetuskan lonjakan harga minyak dan inflasi, memberi kesan tidak seimbang kepada pengimport tenaga berpendapatan rendah.

Organisasi berkenaan turut memberi amaran bahawa konflik tersebut akan meninggalkan “kesan parut” yang mendalam meskipun gencatan senjata rapuh sedang berkuat kuasa.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata ekonomi dunia tidak akan kembali kepada keadaan asal dengan mudah disebabkan lonjakan kos tenaga, kerosakan infrastruktur, gangguan rantaian bekalan, dan kemerosotan keyakinan pasaran.

IMF menjangkakan keperluan untuk menyediakan bantuan kewangan segera sehingga AS$50 bilion kepada negara-negara yang terjejas akibat perang dengan sekurang-kurangnya 45 juta orang dijangka berdepan masalah keterjaminan makanan.”

“Berdasarkan kesan limpahan daripada perang ini, kami menjangkakan permintaan jangka pendek bagi sokongan imbangan pembayaran IMF akan meningkat antara AS$20 bilion hingga AS$50 bilion,” kata Georgieva pada majlis pembukaan Mesyuarat Musim Bunga tahunan IMF dan Bank Dunia di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Bank Dunia Ajay Banga memberitahu Bloomberg TV bahawa institusinya mampu menyediakan pembiayaan sehingga AS$25 bilion “dengan pantas” kepada negara membangun yang terjejas, dan jumlah itu boleh mencecah AS$60 bilion bagi tempoh jangka panjang.

Perang yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran sejak 28 Februari lalu telah mengakibatkan rantaian bekalan global terjejas dan harga minyak melonjak selepas Tehran bertindak menghalang laluan di Selat Hormuz.

IMF turut menjangkakan kadar inflasi global akan disemak semula ke tahap lebih tinggi berikutan kejutan harga minyak dan gangguan logistik.

Bank Dunia pula menganggarkan pertumbuhan ekonomi serantau (tidak termasuk Iran) akan menyusut kepada hanya 1.8 peratus pada 2026 iaitu penurunan sebanyak 2.4 mata peratusan berbanding unjuran sebelum perang.

Kesan krisis tersebut juga bersifat tidak seimbang iaitu negara pengimport tenaga berpendapatan rendah serta negara kepulauan kecil di hujung rantaian bekalan adalah pihak yang paling teruk terjejas.

Laporan terbaharu IMF turut menganggarkan keluaran ekonomi di negara-negara yang terlibat dalam kancah peperangan akan merosot sebanyak tiga peratus pada peringkat permulaan dan akan terus jatuh untuk tempoh bertahun-tahun lamanya. – AFP