
MINNEAPOLIS, 31 Januari – Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di Minneapolis pada Jumaat bagi membantah tindakan keras imigresen Presiden Donald Trump.
- Penunjuk perasaan membantah tindakan keras imigresen dan operasi pengusiran besar-besaran oleh ICE.
- Protes serentak di bandar besar seperti Los Angeles menuntut pembelaan demokrasi dan kebebasan.
- Kematian Alex Pretti oleh ejen persekutuan mencetuskan siasatan hak sivil Jabatan Kehakiman AS.
- Kontroversi menjejaskan rundingan belanjawan; Demokrat mahu pembiayaan DHS diasingkan dan dirunding semula.
Ia susulan tembakan maut terhadap dua penunjuk perasaan oleh ejen persekutuan bulan ini.
Para peserta membawa sepanduk menentang Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), yang mengetuai operasi pengusiran besar-besaran, dalam satu kempen “penutupan nasional” di seluruh Amerika Syarikat.
Protes sama turut diadakan di Los Angeles, dengan ribuan berkumpul di hadapan City Hall.
Beberapa peserta berkata mereka turun ke jalan bagi mempertahankan demokrasi dan kebebasan yang dijamin di Amerika Syarikat.
Sushma Santhana, 24, berkata, “Kerajaan persekutuan tidak sepatutnya menakut-nakutkan rakyat mereka seperti ini.”
Pada masa sama, bekas pengacara CNN, Don Lemon, didakwa terlibat dalam pelanggaran hak sivil oleh pentadbiran Trump kerana melaporkan protes di sebuah gereja yang turut dihadiri pegawai ICE.
Lemon ditahan sementara di Los Angeles tetapi dibebaskan selepas perbicaraan ringkas dan dijadualkan hadir ke mahkamah Minneapolis pada 9 Februari.
Pentadbiran Trump juga menghadapi tekanan politik berikutan kematian Alex Pretti, seorang jururawat berusia 37 tahun, yang ditembak oleh ejen persekutuan.
Jabatan Kehakiman AS memulakan siasatan hak sivil ke atas kematian Pretti, walaupun tiada siasatan serupa untuk Renee Good, mangsa tembakan pada Januari.
Kontroversi berkenaan juga menjejaskan rundingan belanjawan kerajaan, dengan Demokrat menuntut supaya pembiayaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) diasingkan untuk dirunding semula bagi mengehadkan operasi penguatkuasaan imigresen, ketika tarikh akhir belanjawan semakin hampir. – AFP