
OTTAWA, 23 Ogos – Kanada mengumumkan tindak balas tegas dengan mengenakan tarif baharu terhadap Amerika Syarikat (AS) selepas rundingan perdagangan antara kedua-dua negara menemui jalan buntu.
- Tarif balasan menyasarkan sektor keluli dan produk tenusu, berkuat kuasa 8 September.
- Langkah itu memburukkan lagi keretakan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Kanada dan AS.
- Perdana Menteri Mark Carney menolak "perjanjian buruk" yang dikemukakan Washington.
- AS mengenakan tarif 50 peratus terhadap barangan bernilai kira-kira AS$20 bilion, mencetuskan sengketa dagang.
Kanada akan mengenakan tarif balasan yang menyasarkan sektor keluli dan produk tenusu AS berkuat kuasa pada 8 September depan.
Langkah berkenaan sekali gus memburukkan lagi keretakan hubungan diplomatik dan ekonomi antara dua negara tersebut.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menegaskan beliau enggan menerima “perjanjian buruk” yang dikemukakan Washington.
Keretakan rundingan pada Jumaat lalu menyaksikan AS mengenakan tarif baharu sebanyak 50 peratus yang melibatkan barangan bernilai kira-kira AS$20 bilion iaitu kira-kira 5.5 peratus daripada keseluruhan eksport Kanada ke AS.
Tindakan AS itu merangkumi pelbagai produk keluaran Kanada, daripada kayu hoki hingga simen.
Carney mendakwa Presiden AS, Donald Trump telah meletakkan syarat tidak adil dan merugikan pihak Ottawa.
“AS mengemukakan syarat baharu yang tidak ekonomik, tidak adil dan menjejaskan manfaat bersih bagi Kanada, mereka (AS) meminta terlalu banyak dan menawarkan terlalu sedikit.
“Kami tidak boleh menerima apa yang ditawarkan dan kami tidak akan menyerahkan apa yang diminta,” kata Carney sambil menyifatkan tindakan Washington itu sebagai satu “serangan” perdagangan.- AFP