
PEKANBARU, 26 Ogos – Seramai 3.4 juta penduduk di tujuh wilayah di Pulau Borneo dan Sumatera berdepan risiko jangkitan saluran pernafasan akibat pendedahan kepada jerebu tebal susulan kebakaran hutan yang melanda Indonesia.
- Pencemaran udara mencapai tahap berbahaya; IPU mencecah 573 di beberapa kawasan, ancam kesihatan awam.
- Kerajaan gerakkan 321 anggota kesihatan, mengedar lebih 260,000 pelitup muka dan sediakan pekeliling untuk pembelajaran jarak jauh bila kualiti merosot.
- Kebakaran luas berpunca daripada tebas dan bakar; lebih 11,000 titik panas dikesan, helikopter dan ribuan anggota digerakkan untuk memadam.
Kementerian Kesihatan Indonesia memaklumkan, kebakaran yang berlaku sejak beberapa minggu lalu turut menyebabkan penutupan sekolah dan ribuan penduduk mendapatkan rawatan perubatan, manakala asap kebakaran dilaporkan turut merebak ke Malaysia dan Singapura.
Dalam taklimat sama, Ketua Pusat Krisis Kesihatan Kementerian Kesihatan Agus Jamaludin, berkata tujuh wilayah terjejas termasuk Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Pulau Sumatera, serta Kalimantan Barat, Tengah, Timur dan Selatan.

“Wilayah-wilayah ini telah mengisytiharkan status amaran kecemasan, bukan status tindak balas kecemasan. Kami berharap usaha memadamkan kebakaran dapat diselesaikan secara berperingkat supaya jerebu yang terhasil dapat dikurangkan,” katanya dalam satu taklimat media dalam talian pada Rabu.
Agus berkata 42 orang mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi, kedua-duanya mangsa kebakaran di Kalimantan Selatan, mengalami kecederaan serius atau dimasukkan ke hospital.
Tiada kematian atau pemindahan penduduk dilaporkan sementara 321 anggota kesihatan telah digerakkan ke seluruh wilayah yang terjejas.
“Lebih 260,000 pelitup muka telah diedarkan kepada penduduk di kawasan yang paling terjejas,” katanya.

Sementara itu, dalam taklimat sama, Pengarah Kesihatan Persekitaran Kementerian Kesihatan Then Suyanti, memaklumkan pencemaran udara akibat kebakaran hutan dan tanah di Indonesia telah mencapai tahap berbahaya dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melonjak kepada 573 di beberapa kawasan di Kalimantan Tengah.
Tambahnya, pihak berkuasa kini sedang mempertingkatkan langkah-langkah untuk melindungi kesihatan awam.
“Pemantauan kualiti udara daripada 17 stesen setakat 5 pagi Rabu menunjukkan bacaan berkenaan di Jekan Raya, Palangka Raya, Kalimantan Tengah, manakala Kabupaten Muaro Jambi di Jambi turut merekodkan tahap berbahaya iaitu 302.
“Beberapa kawasan lain merekodkan kualiti udara yang sangat tidak sihat termasuk Pelalawan di Riau, Penukal Abab Lematang Ilir dan Ogan Ilir (Sumatera Selatan), Pontianak Tenggara di Kalimantan Barat serta Gunung Mas dan Katingan di Kalimantan Tengah.
“Bagi kategori sangat tidak sihat, iaitu antara 201 hingga 300, ia memudaratkan dan meningkatkan risiko kesihatan, terutamanya bagi golongan sensitif, manakala orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di luar rumah terlalu lama. Bagi kategori berbahaya pula, semua pihak perlu mengelakkan aktiviti luar,” katanya
Then berkata kementerian sedang menyediakan pekeliling mengenai pengurangan aktiviti luar termasuk membenarkan sekolah melaksanakan pembelajaran jarak jauh apabila kualiti udara semakin merosot.
“Pekeliling itu sedang disediakan. Ia mungkin dikeluarkan dalam tempoh dua hari akan datang oleh ketua setiausaha,” katanya.
Sementara itu, pemantauan satelit terkini oleh Kementerian Perhutanan menunjukkan risiko kebakaran masih meluas, dengan 805 titik panas tahap keyakinan tinggi dan 11,313 titik panas tahap keyakinan sederhana dikesan di seluruh negara setakat pukul 9.11 malam Selasa.

Menurut kementerian itu, antara enam wilayah keutamaan, Sumatera Selatan mencatatkan bilangan titik panas tahap keyakinan tinggi terbanyak iaitu 239, diikuti Kalimantan Tengah (113), Kalimantan Selatan (89) dan Kalimantan Barat (86), manakala Jambi mencatatkan tujuh dan Riau satu.
Bagi titik panas tahap keyakinan sederhana, Kalimantan Barat mencatatkan 2,447, diikuti Kalimantan Tengah (2,168), Sumatera Selatan (1,161), Kalimantan Selatan (710), Riau (199) dan Jambi sebanyak 197.
Terdahulu pada Selasa, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kerajaan mengerahkan puluhan helikopter, pesawat, pam air dan ribuan anggota bagi memadamkan kebakaran.
“Sekarang saya fikir ia sudah mula dikawal dan ditangani. Di beberapa tempat, saya percaya dan berharap dalam tempoh satu hingga dua minggu semuanya dapat diselesaikan,” katanya.
Kebanyakan kebakaran hutan dipercayai berpunca daripada amalan tebas dan bakar bagi membersihkan kawasan untuk aktiviti pertanian.
Polis pada hujung minggu lalu berkata, 72 individu ditahan kerana disyaki memulakan kebakaran.
Kerajaan Indonesia minggu lalu memaklumkan, lebih 200,000 hektar kawasan terbakar antara Januari hingga Julai, iaitu kira-kira tiga kali ganda keluasan Jakarta.
Jumlah itu sudah melebihi keluasan kawasan yang terbakar ketika musim El Nino sebelum ini pada 2019 dan 2023.
Fenomena El Nino menyebabkan perubahan corak angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan di seluruh dunia.

Umat Islam di Indonesia yang menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW pada Selasa turut menunaikan solat hajat memohon hujan.
Sementara itu, Malaysia menyatakan kesediaannya untuk membantu memadamkan kebakaran.
Kualiti udara yang terjejas di Sarawak, di Pulau Borneo yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Brunei, menyebabkan hampir 600 sekolah ditutup minggu lalu. – AFP/ BERNAMA