
STOCKHOLM, 26 Ogos – Suspek lelaki kedua ditahan berhubung serangan pedang maut di sebuah sekolah di Sweden pada minggu lalu, menurut pendakwa raya.
- Pendakwa raya menyatakan suspek disyaki membantu dan bersubahat dalam kes pembunuhan serta cubaan membunuh.
- Seorang pelajar perempuan 17 tahun maut; tiga pelajar lain berusia 12 hingga 17 cedera, dua dilaporkan parah.
- Suspek utama, remaja 18 tahun, ditahan reman selepas polis bertindak menembak dan menahannya; motif serangan masih belum diketahui.
Pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan memaklumkan lelaki itu disyaki membantu dan bersubahat dalam kes pembunuhan serta cubaan membunuh.
“Selewat-lewatnya tengah hari Khamis, pendakwa raya perlu memutuskan sama ada memohon supaya lelaki itu ditahan reman atau dibebaskan,” menurut kenyataan itu.
Suspek utama, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, telah ditahan reman sejak Ahad selepas serangan pada Jumaat lalu di Sekolah Menengah Brinell di Fagersta, di barat laut Stockholm.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun maut ditikam, manakala tiga pelajar lain berusia antara 12 dan 17 tahun cedera, dengan dua daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan serius.
Polis sebelum ini memaklumkan suspek utama ditembak dan ditahan selepas pegawai bertindak balas dengan pantas terhadap insiden di sekolah berkenaan, yang mempunyai kira-kira 450 pelajar berusia antara 16 hingga 20 tahun.
Laporan media menyebut suspek pertama yang ditahan merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Bagaimanapun motif serangan masih belum diketahui.
Seorang pelajar, Nellie Strandberg, berkata pelajar dikunci di dalam sekolah selama kira-kira lima jam selepas kejadian.
“Guru memberitahu kami supaya terus berada di tempat masing-masing, walaupun kami tidak tahu berapa lama,” katanya.
Sekolah berkenaan baru dibuka semula selepas cuti musim panas dan kejadian berlaku pada petang Jumaat, ketika sebahagian pelajar baru memulakan hari pertama mereka di sekolah. – REUTERS/ BERNAMA