
MUMBAI, 26 Ogos – Pihak berkuasa China membantu India dalam usaha mencari 22 kru kapal kargo yang hilang selepas kapal berkenaan karam di Teluk Bengal minggu lalu, menurut Pengawal Pantai India.
- China membantu India dalam usaha mencari 22 kru kapal kargo yang hilang selepas kapal karam di Teluk Bengal.
- MV Ocean Winner membawa 24 kru, termasuk 20 warga China, ketika berlayar dari Pelabuhan Paradip ke Singapura.
- Isyarat kecemasan dihantar kira-kira 700 kilometer dari Visakhapatnam, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa India.
- Dua kru diselamatkan; bot penyelamat kapal ditemui tanpa mangsa; punca karam masih belum diketahui.
Kapal MV Ocean Winner yang berbendera Panama membawa 24 kru, termasuk 20 warga China, ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Paradip, Odisha ke Singapura.
Kapal berkenaan menghantar isyarat kecemasan pada Sabtu ketika berada kira-kira 700 kilometer dari Visakhapatnam, mendorong operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa India
Dua kru berjaya diselamatkan, manakala 22 lagi masih belum ditemui. Tiga kru adalah warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Jurucakap Pengawal Pantai India, Komander Amit Uniyal, walaupun isyarat kecemasan kapal berkenaan telah dikesan, pasukan penyelamat masih belum menemukan mangsa lain yang terselamat.
“Operasi mencari dan menyelamat anak kapal MV Ocean Winner yang masih hilang dipertingkatkan melalui kerjasama dengan MRCC Beijing,” kata Uniyal, merujuk kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim China.
Sebuah bot penyelamat milik kapal itu turut ditemukan, namun tiada mangsa ditemui.
Punca kapal berkenaan karam masih belum diketahui.-AFP