Iran umum henti serangan terhadap Israel

Foto AFP

TEHRAN, 8 Jun – Tentera Iran mengumumkan bahawa mereka menghentikan operasi ketenteraan terhadap Israel selepas kedua-dua pihak saling berbalas serangan buat kali pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran mengancam akan menyambung semula serangan lebih tegas dan menghancurkan jika Israel meneruskan pencerobohan, termasuk di selatan Lubnan.
  • Presiden Masoud Pezeshkian: Tehran kekal di meja rundingan, menggabungkan diplomasi dan pertahanan tanpa berundur daripada ancaman.
  • Iran melancarkan serangan bertubi-tubi, manakala Israel membalas dengan menyasarkan tapak tentera di republik Islam itu.

Namun, mengancam untuk menyambung semula serangan jika Israel meneruskan serangan ke atas Iran termasuk Lubnan.

“Iran telah memberikan tindak balas yang menyakitkan terhadap Israel. Dengan ini diumumkan penghentian operasi angkatan bersenjata Iran.

“Bagaimanapun, sekiranya tindakan pencerobohan dan permusuhan berterusan, termasuk di selatan Lubnan, langkah yang jauh lebih tegas dan menghancurkan berbanding sebelum ini akan diambil,” menurut kenyataan Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya yang disiarkan di televisyen negara.

Susulan penghentian serangan itu ke atas Israel, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata Tehran kekal di meja rundingan.

“Diplomasi dan pertahanan adalah dua sayap kuasa negara, kami tidak meninggalkan medan perang mahupun meja rundingan,” kata Pezeshkian dalam satu catatan di X.

Beliau dalam masa sama menegaskan, Tehran tidak akan berundur dalam menghadapi sebarang ancaman.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Iran dan Israel sedang berusaha untuk gencatan segera.

“Kedua-dua pihak, Israel dan Iran, ingin melakukan gencatan segera.

“Rundingan akhir mengenai ‘Damai’ sedang dijalankan, tertakluk kepada kejahilan atau kebodohan yang menghalangnya,” kata Trump di Truth Social.

Iran melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah Israel pada malam Ahad hingga Isnin manakala Israel bertindak balas dengan menyasarkan tapak tentera di republik Islam itu.

Serangan Tehran menyusuli serangan oleh Israel terhadap sasaran kumpulan Hizbullah, di pinggir bandar selatan Beirut. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.