Iran tidak mahu rundingan atau gencatan senjata – Menteri Luar

Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi / REUTERS

TEHRAN, 16 Mac – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Iran tidak seskali akan meminta gencatan senjata atau rundingan dengan Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran bersedia mempertahankan diri selama mana diperlukan terhadap apa yang digelar perang tidak sah.
  • Operasi ketenteraan Iran akan diteruskan sehingga Presiden AS sedar konflik itu perang tidak sah dan tidak akan membawa kemenangan.
  • Iran tidak menutup Selat Hormuz; keputusan laluannya ditentukan tentera dan beberapa negara dibenarkan melalui.
  • Tehran menegaskan tidak berniat memiliki senjata nuklear; uranium diperkaya kini di bawah runtuhan dan tiada rancangan memulihkannya.

Sebaliknya negara itu bersedia mempertahankan diri “selama mana yang diperlukan” terhadap apa yang disifatkannya sebagai perang tidak sah.

Dalam wawancara bersama CBS News yang disiarkan Ahad, Menteri Luar Iran itu menolak dakwaan bahawa Tehran telah meminta agar konflik dihentikan.

“Kami tidak pernah meminta gencatan senjata dan kami juga tidak pernah meminta rundingan. Kami bersedia mempertahankan diri selama mana yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut menyatakan operasi ketenteraan Iran akan diteruskan sehingga Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyedari bahawa konflik tersebut merupakan perang tidak sah dan tidak akan membawa kemenangan.

“Kami tidak melihat sebab untuk bercakap dengan pihak Amerika kerana kami sedang berbincang dengan mereka ketika mereka memutuskan untuk menyerang kami, dan itu merupakan kali kedua,” tambahnya.

Mengulas mengenai Selat Hormuz, Araghchi berkata Iran tidak menutup laluan perairan strategik itu.

Menurutnya, keputusan berkaitan perkara tersebut terletak di tangan pihak tentera, yang setakat ini membenarkan kapal dari beberapa negara melalui laluan berkenaan.

Dalam isu nuklear, Araghchi sekali lagi menegaskan bahawa Tehran tidak pernah berhasrat untuk memiliki senjata nuklear.

Beliau turut mendedahkan bahawa Iran sebelum ini bersetuju mencairkan uranium diperkaya ketika rundingan dengan Amerika Syarikat sebelum serangan berlaku.

Namun, katanya bahan tersebut kini berada “di bawah runtuhan” selepas kemudahan nuklear Iran diserang.

“Segalanya berada di bawah runtuhan,” katanya sambil menambah bahawa Iran ketika ini tidak mempunyai rancangan untuk mendapatkan semula stok uranium diperkaya daripada tapak yang rosak itu. – REUTERS