Indonesia teliti semula dasar kemasukan pelawat tanpa visa

Indonesia akan menilai semula dasar kemasukan bebas visa bagi pelawat dari Asia Tenggara susulan beberapa kes jenayah membabitkan warga asing. – Foto AFP

JAKARTA, 13 Mei – Indonesia akan menilai semula dasar kemasukan bebas visa bagi pelawat dari Asia Tenggara susulan beberapa tangkapan melibatkan warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian haram dan penipuan dalam talian di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 500 ditahan dalam dua serbuan berkaitan sindiket perjudian dalam talian dan penipuan di Jakarta dan Batam.
  • Warga Vietnam, Kemboja, Malaysia, Laos dan Myanmar antara yang ditahan; warga China tidak termasuk dalam skim bebas visa.
  • Imigresen melaksanakan lebih 6,700 tindakan pentadbiran termasuk lebih 2,000 pengusiran dan pembatalan permit tinggal terhadap warga asing.

Menurut Ketua Imigresen Indonesia, Hendarsam Marantoko, aktiviti jenayah berkenaan menimbulkan kebimbangan serius dan memerlukan penilaian semula terhadap dasar sedia ada.

Minggu lalu, pihak berkuasa menahan lebih 500 individu dalam dua serbuan berasingan melibatkan sindiket perjudian dalam talian di Jakarta serta operasi penipuan di Batam, wilayah Kepulauan Riau.

Pihak berkuasa Indonesia pada 8 Mei lalu telah menahan warga asing kerana menjalankan rangkaian penipuan pelaburan. – Foto AFP

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Vietnam, Kemboja, Malaysia, Laos dan Myanmar yang menikmati kemudahan bebas visa selama 30 hari di Indonesia, selain warga China yang tidak termasuk dalam skim tersebut.

Siasatan mendapati kebanyakan suspek yang terlibat dalam pusat perjudian haram di Jakarta memasuki Indonesia menggunakan kemudahan bebas visa atau permit ketibaan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak imigresen Indonesia turut melaksanakan lebih 6,700 tindakan pentadbiran termasuk lebih 2,000 pengusiran dan pembatalan permit tinggal terhadap warga asing. – AFP