
MANILA, 10 Ogos- Sekurang-kurangnya 13 orang maut akibat banjir, tanah runtuh dan kemalangan susulan hujan lebat selama sembilan hari di utara Filipina, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
- Hujan diperburuk ribut tropika menyebabkan sekolah dan pejabat kerajaan ditutup di seluruh Luzon, beberapa kawasan Manila dibanjiri.
- Empat orang maut di Baguio selepas cerun bukit runtuh menghempap beberapa rumah; pasukan penyelamat masih mencari sekurang-kurangnya enam hilang.
- Baguio merekodkan 1,413.2 mm hujan bagi 1 hingga 9 Ogos, 47 peratus lebih tinggi daripada jumlah biasa bagi keseluruhan bulan.
- Saintis berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia membuat kejadian cuaca ekstrem lebih kerap, berpanjangan dan lebih sengit.
Hujan yang diburukkan lagi oleh ribut tropika menyebabkan sekolah dan pejabat kerajaan ditutup di seluruh Luzon, selain membanjiri beberapa kawasan di Manila.
Empat kematian dilaporkan di Baguio selepas cerun bukit runtuh menghempap beberapa rumah, kata pegawai bencana bandar itu, Charles Carame.
Pasukan penyelamat masih mencari sekurang-kurangnya enam orang yang dilaporkan hilang selepas kejadian berkenaan.
Pegawai ramalan cuaca kerajaan, Dan Villamil berkata Baguio merekodkan 1,413.2 milimeter hujan bagi tempoh 1 hingga 9 Ogos iaitu 47 peratus lebih tinggi daripada jumlah biasa bagi keseluruhan bulan.
Jumlah hujan itu juga melebihi purata bulanan Baguio sebanyak 963.2 milimeter.
Sebahagian kawasan Metro Manila pula telah menerima hujan bersamaan kira-kira 90 peratus daripada jumlah biasa bagi Ogos.
Enam lagi maut akibat tanah runtuh di beberapa kawasan lain di Luzon, manakala seorang lemas, seorang maut akibat dihempap pokok tumbang dan seorang lagi terkena renjatan elektrik, menurut pejabat pertahanan awam.
Hujan lebat masih berterusan pada petang Isnin, namun Setiausaha Kerja Raya, Vince Dizon berkata paras air banjir mula surut.
Beliau berkata usaha menangani banjir perlu mengambil kira kelemahan sistem tebatan banjir yang berlaku selama bertahun-tahun.
Filipina dilanda purata 20 ribut dan taufan setiap tahun kerana kedudukannya di laluan utama siklon Pasifik.
Saintis berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyebabkan kejadian cuaca ekstrem menjadi semakin kerap, berpanjangan dan lebih sengit. -AFP