
KOTA KINABALU, 10 Ogos – Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah sedang melaksanakan kerja menaik taraf bagi meningkatkan keupayaan operasi dan keselesaan warga kerja.
- Penggantian peralatan studio termasuk lampu dan latar pentas untuk menyokong siaran digital serta berdefinisi tinggi 4K, meningkatkan kualiti produksi.
- Kemajuan projek penggantian peralatan kini kira-kira 10 peratus; siap dijangka 2028; tender sistem penyaman bermula hujung Ogos, siap dalam 24 bulan.
- Kerja dipantau ketat oleh menteri dan pegawai RTM negeri bagi memastikan jadual, kawalan kos dan operasi RTM tidak terjejas.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, projek pertama melibatkan penggantian peralatan penyiaran di studio dengan kelengkapan baharu untuk menyokong siaran digital dan berdefinisi tinggi 4K, serta penggantian peralatan sokongan termasuk lampu dan latar pentas bagi meningkatkan kualiti produksi kandungan penyiaran.
“Kemajuan projek penggantian peralatan studio kini mencapai kira-kira 10 peratus dan dijangka siap pada 2028. Bagi penukaran peralatan membabitkan pendingin hawa atau sistem penyaman udara berkapasiti besar, proses tender akan bermula penghujung Ogos ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
“Saya juga meminta supaya kerja ini dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan pada kos yang telah diputuskan. Kita tidak mahu ada keadaan sama ada projek itu lewat atau kosnya melambung tinggi,” katanya.
Beliau ditemui semasa lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini.
Tambah Datuk Seri Fahmi, bagi memastikan kedua-dua projek berjalan lancar, pelaksanaannya akan dipantau bagi memastikan kerja dapat disiapkan mengikut jadual dan kos yang telah ditetapkan, tanpa menjejaskan operasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta jabatan dan agensi yang beroperasi di kompleks tersebut.
Pemantauan projek akan turut melibatkan pegawai dan Pengarah RTM Negeri, supaya setiap kerja dilaksanakan mengikut perancangan dan mengelakkan kelewatan.