
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) perlu segera dipinda bagi memperkukuh tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH), sekali gus memastikan pengurusan dana pendeposit dilaksanakan secara lebih berintegriti.
- Pematuhan peruntukan agihan keuntungan perlu diperbetulkan; keuntungan diberikan walaupun liabiliti melebihi nilai aset, menyalahi peruntukan sedia ada.
- Masukkan kriteria kemahiran khusus dalam pelantikan Ahli Lembaga, seperti disyor RCI, untuk memastikan kelayakan menjaga amanah institusi.
- Pelantikan berasaskan kepakaran penting untuk keputusan pengurusan dan pelaburan profesional, serta mengurangkan konflik kepentingan.
- Penstrukturan semula berjalan baik; lebih 75 peratus syor RCI dilaksanakan, tamatkan pelantikan politik dan letakkan pengurusan pelaburan di bawah SC.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Anuar Shuib berkata, antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah pematuhan terhadap peruntukan berkaitan agihan keuntungan berdasarkan kedudukan kewangan sebenar institusi itu.
“Akta 535 menetapkan bahawa sekiranya tidak ada keuntungan, maka tidak boleh diberikan hasil ataupun keuntungan sama ada dalam bentuk dividen dan sebagainya.
“Tetapi dalam kes ini, ada keuntungan diberikan kepada pendeposit ketika liabiliti melebihi nilai aset. Jadi, perkara ini telah melanggar Akta 535 itu sendiri,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika menjadi panel dalam program Bicara Naratif terbitan RTM bertajuk RCI Tabung Haji: Realiti Di Sebalik Persepsi.
Perunding Kewangan Islam, Arham Merican pula menekankan aspek kriteria pelantikan Ahli Lembaga Pengarah TH, seperti dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH.
“Dalam syor juga disebut keperluan meminda Akta 535 supaya memasukkan kriteria kemahiran tertentu.
“Ini supaya kita boleh memilih mereka yang benar-benar layak untuk menjaga amanah sebuah institusi seperti Tabung Haji,” katanya.
Menurut Arham, pelantikan berasaskan kepakaran penting bagi memastikan keputusan berkaitan pengurusan dan pelaburan dibuat secara profesional serta mengelak pertembungan kepentingan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan, penstrukturan semula TH kini berada pada landasan tepat apabila lebih 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan.
Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk menamatkan pelantikan ahli politik aktif dalam Lembaga Pengarah dan jawatankuasa TH, selain meletakkan pengurusan pelaburan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pemindahan aset bermasalah kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) menerusi instrumen sukuk turut membantu memulihkan kestabilan lembaran imbangan TH.
Langkah itu membolehkan agihan pulangan dibuat berdasarkan penyata kewangan yang diaudit sepenuhnya.
Laporan RCI TH dijadual dibahaskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok.