Ibu bapa digesa pantau penggunaan internet anak

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Ibu bapa digesa melaksanakan kawalan ibu bapa (parental control) terhadap penggunaan peranti, internet dan media sosial anak-anak, khususnya mereka yang berusia bawah 16 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lindungi kanak-kanak daripada kandungan tidak bersesuaian dan ancaman dalam talian.
  • Kes mahkamah: lelaki dihukum 10 tahun selepas melakukan jenayah seksual terhadap gadis 15 tahun yang berkenalan menerusi TikTok.
  • Kerajaan mahu had umur dan kawalan pembukaan akaun media sosial bagi mengurangkan risiko dieksploitasi.
  • Ibu bapa dinasihatkan tidak membenarkan bawah 16 tahun membuka akaun sendiri; gunakan akaun ibu bapa untuk akses kandungan sesuai.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi melindungi kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan tidak bersesuaian serta ancaman dalam talian.

“Terdapat satu kes mahkamah di Sabah membabitkan seorang lelaki dihukum penjara 10 tahun, akibat memperlakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan, 15 tahun, selepas berkenalan menerusi aplikasi TikTok.

“Niat kerajaan dalam melaksanakan penetapan had umur dan kawalan terhadap pembukaan akaun media sosial adalah bagi mengelakkan risiko mereka menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab,

“Saya meminta ibu bapa yang masih belum melaksanakan kawalan ibu bapa supaya mengambil langkah berkenaan bermula dalam keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2026 Kementerian Komunikasi Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di Kota Kinabalu.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membenarkan anak-anak berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial sendiri, sebaliknya menggunakan akaun ibu bapa bagi mengakses kandungan yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi berkata, peningkatan akses kepada internet perlu diseimbangkan dengan aspek keselamatan siber dan kawalan penggunaan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.