
SHAH ALAM, 10 Ogos – Tekong utama negara, Syahir Rosdi menyasarkan dua pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Persiapan skuad berada pada tahap positif dengan pendedahan melalui King’s Cup dan latihan intensif.
- Syahir sudah pulih daripada kecederaan dan kembali berlatih; aksi persahabatan hujung Ogos jadi penilaian sebelum senarai akhir.
- Persaingan sukar kerana Thailand, Korea, Indonesia dan India menunjukkan peningkatan; perlu kaji permainan terbaru mereka.
- Malaysia diundi Kumpulan B acara berpasukan bersama India, Filipina, Jepun; acara regu Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.
Beliau turut menegaskan skuad sepak takraw negara tidak boleh terlalu leka dengan kejayaan lalu dalam menghadapi saingan sukan berkenaan.
Menurutnya, persiapan skuad kebangsaan ketika ini berada pada tahap positif dengan pendedahan menerusi Kejohanan Piala Raja Thai dan latihan intensif.
“Untuk Sukan Asia kali ini, saya lihat persiapan pasukan Malaysia sangat baik. Ada beberapa pemain yang menyertai King’s Cup, manakala kami pula menjalani latihan di sini dengan sehabis baik.
“Jadi, saya lihat persaingan untuk merebut tempat ke Sukan Asia memang sengit dan kami perlu bersaing antara satu sama lain” katanya.
Beliau yang sudah pulih daripada kecederaan turut kembali menjalani latihan seperti biasa dengan aksi persahabatan pada hujung Ogos yang dijangka menjadi medan penilaian penting sebelum senarai akhir pemain dimuktamadkan.
Dalam pada itu, beliau menyasarkan dua pingat emas menerusi acara regu dan berpasukan.
Namun mengakui cabaran besar menanti dengan kebangkitan beberapa negara.
“Secara peribadi, saya menyasarkan dua pingat emas untuk acara regu dan berpasukan. Peluang untuk menang emas memang sukar kerana kita tahu Thailand, Korea, Indonesia dan India sekarang banyak menunjukkan peningkatan.
“Jadi, kami perlu mengkaji betul-betul permainan terbaru mereka dan tidak boleh leka dengan kejayaan sebelum ini” Jelasnya.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bagi acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun.
Bagi acara regu pula, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.
Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.