
BANGKOK, 10 Ogos- Pertikaian membabitkan wang berjumlah beberapa juta baht dipercayai menjadi motif seorang bekas Ahli Parlimen Thailand menembak mati seorang pegawai kerajaan tempatan di luar sebuah bangunan kerajaan di Nonthaburi, utara Bangkok pada Isnin.
- Chalong dakwa Thongchai meminjam wang daripadanya sejak beberapa tahun lalu dan gagal membayar semula walaupun diminta.
- Thongchai, pengerusi pentadbiran kerajaan tempatan, ditembak di leher dan meninggal; pemandunya cedera di lengan kanan.
- Chalong ditahan dan mengaku melepaskan tembakan; rakaman CCTV menunjukkan hanya beliau menembak, pistol dalam kenderaan mangsa tidak digunakan.
- Chalong kata dia menembak selepas pemandu mangsa mengacukan pistol; gabenor panggil kejadian salah faham, Perdana Menteri mahu tindakan undang-undang.
Ketua Polis Wilayah, Wattana Yeechin berkata suspek, Chalong Riewrang, mendakwa mangsa, Thongchai Yenprasert meminjam wang daripadanya sejak beberapa tahun lalu dan gagal membayarnya semula walaupun telah beberapa kali diminta.
Thongchai, pengerusi pentadbiran kerajaan tempatan Nonthaburi, meninggal dunia selepas ditembak di leher, manakala pemandunya cedera di lengan kanan.
Chalong ditahan selepas kejadian dan mengaku sebagai individu yang melepaskan tembakan.
Menurut Wattana, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan hanya Chalong melepaskan tembakan dari jarak dekat, manakala sepucuk senjata api yang ditemui dalam kenderaan mangsa tidak digunakan.
Chalong memberitahu pemberita bahawa beliau mengekori Thongchai ke keretanya selepas mangsa enggan berbincang mengenai wang berkenaan sebelum beliau mengeluarkan pistol.
“Saya tidak berniat menembak, tetapi pemandunya mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah saya, jadi saya melepaskan tembakan,” katanya.
Gabenor Nonthaburi, Chestha Mosikarat berkata suspek dan mangsa telah lama berkawan dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada salah faham.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata tindakan undang-undang sepenuhnya akan dikenakan terhadap Chalong.
“Siapa pun dia, dia kini seorang pembunuh,” katanya.
Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas insiden tembakan di sebuah sekolah di Nonthaburi yang mengorbankan lapan orang, termasuk datuk dan nenek seorang remaja berusia 14 tahun, sebelum remaja itu membunuh diri. – AFP