
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Kerajaan akan memastikan pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di 362 lokasi terpilih memenuhi spesifikasi teknikal, standard kualiti dan aspek keselamatan ditetapkan.
- JKR menyediakan Garis Panduan ISLED dengan jaminan lima tahun dan penekanan pada standard kualiti serta pematuhan teknikal.
- Kerajaan memperuntukkan RM34.19 juta tahun ini; sehingga Mei 2026 sebanyak 19,493 unit ISLED telah dipasang.
- LLM dan Program Pantau MADANI laksanakan 3,000 tiang lampu di 32 lokasi berisiko tinggi, peruntukan fasa awal RM25.2 juta siap November.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyediakan Garis Panduan Penggunaan Lampu jenis solar bersepadu diod pemancar cahaya (ISLED) bagi keperluan jaminan lima tahun.
Alexander berkata, apabila melibatkan pelaburan kerajaan dengan nilai yang besar, standard kualiti tidak boleh dikompromi.
“Kita bukan sekadar mahu lebih banyak lampu dipasang, tetapi memastikan produk yang digunakan memenuhi spesifikasi teknikal, tahan lasak dan mampu beroperasi dengan baik untuk jangka panjang
“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberi nilai kepada rakyat, jalan lebih terang, perjalanan lebih selamat dan infrastruktur yang tahan untuk jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Nanta berkata demikian susulan lawatan kerja ke kilang SBC Lighting di Klang, pagi tadi bagi melihat proses pengeluaran, keupayaan industri tempatan serta aspek kualiti dan pematuhan standard lampu jalan ISLED.
“Lawatan ini merupakan susulan kepada inisiatif kerajaan memperluas penggunaan lampu jalan solar secara bersasar.
“Dua inisiatif berbeza, tetapi matlamatnya sama meningkatkan keselamatan dan kebolehlihatan pengguna di Jalan Persekutuan serta lebuh raya, khususnya pada waktu malam,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak RM34.19 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi pemasangan lampu berkenaan di lokasi yang memerlukan pencahayaan demi keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, sehingga Mei 2026, sebanyak 19,493 unit ISLED telah dipasang di Semenanjung Malaysia.
“Lampu solar untuk jalan raya juga tidak boleh disamakan dengan produk kegunaan persendirian di pasaran. Spesifikasinya perlu mengambil kira tahap pencahayaan, kekuatan struktur, kapasiti bateri, ketinggian tiang, ketahanan cuaca serta keselamatan pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta berkata Kerajaan menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Program Pantau MADANI 2026 turut melaksanakan pemasangan 3,000 tiang lampu solar LED di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya.
Katanya, pelaksanaan itu membabitkan peruntukan fasa awal RM25.2 juta dengan sasaran siap menjelang penghujung November ini.
Beliau berkata penggunaan lampu solar akan terus dilaksanakan secara bersasar berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos dan keperluan setempat.
Pelaksanaan itu termasuk kawasan yang jauh daripada grid elektrik serta lokasi yang berdepan isu kecurian kabel dan vandalisme.