
KOTA KINABALU, 10 Ogos – Kerajaan Persekutuan komited untuk terus menjaga ekonomi rakyat dengan memastikan prestasi ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh segenap lapisan masyarakat.
- Utamakan impak sebenar pertumbuhan ekonomi kepada kehidupan harian rakyat, bukan hanya prestasi makro semata.
- Penyasaran subsidi seperti BUDI MADANI perlu mengambil kira realiti kawasan dan perjalanan jauh di Sabah serta Sarawak.
- Kementerian dan agensi diingatkan memastikan setiap dasar diterangkan dengan tepat, menyeluruh dan mudah difahami rakyat.
Menteri Komunikasi,Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, walaupun petunjuk ekonomi menunjukkan perkembangan memberangsangkan termasuk dari segi pelaburan, hasil, rizab, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan, perkara paling penting ialah kesannya terhadap kehidupan seharian rakyat.
“Ekonomi rakyat adalah ekonomi yang tuan-tuan dan puan-puan sendiri rasai. Sebagai contoh, pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel atau pun BUDI MADANI. Kita tahu di Sabah serta Sarawak ada yang perlu merentas daerah dan melakukan perjalanan agak jauh.
“Inilah yang membolehkan rakyat melihat bahawa kecemerlangan di peringkat nasional benar-benar memberi kesan sehingga dapat dinikmati, dirasai dan dizahirkan dalam kocek rakyat. Ini akan menjadi satu daripada keutamaan,” katanya.
Beliau memaklumkannya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Komunikasi Zon Sabah dan Labuan di sini.
Tambah Datuk Seri Fahmi, meskipun kerajaan terus memberi perhatian terhadap prestasi ekonomi makro secara keseluruhan, aspek yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi tersebut dapat diterjemahkan kepada manfaat kepada kehidupan seharian.
Katanya, realiti kehidupan rakyat juga penting khususnya dalam pelaksanaan dasar seperti penyasaran subsidi yang memberi kesan berbeza mengikut lokasi dan keadaan setempat.
Dalam konteks itu, kementerian dan agensi kerajaan diingatkan agar memastikan setiap dasar yang dilaksana dapat diterangkan dengan tepat dan menyeluruh.