Gempa Colombia: 20 maut, 20 bangunan runtuh

Seorang wanita warga emas dibawa menggunakan perabot berhampiran sebuah bangunan yang runtuh selepas gempa bumi di Cali, Colombia hari ini/AFP

BOGOTA, 10 Ogos- Sekurang-kurangnya 20 orang maut di Colombia susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 yang melanda negara itu pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pereira mengalami korban dan beberapa penduduk dipercayai terperangkap dalam bangunan runtuh, kata Datuk Bandar Mauricio Salazar.
  • Cali catat sekurang-kurangnya 20 bangunan runtuh; Datuk Bandar menggesa penduduk tinggalkan bangunan rosak dan laporkan kerosakan segera.
  • Perkhidmatan Geologi Colombia berkata pusat gempa berhampiran San José del Palmar, Choco pada kedalaman 96 kilometer; tiada ancaman tsunami.

Datuk Bandar Pereira, Mauricio Salazar berkata 18 orang maut di bandar itu, manakala beberapa lagi dipercayai terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

“Keadaan kritikal,” katanya kepada sebuah stesen radio tempatan, Caracol Radio.

Di Manizales pula, dua orang dilaporkan maut, menurut Datuk Bandar, Jorge Eduardo Rojas.

Sementara itu, Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder memaklumkan sekurang-kurangnya 20 bangunan runtuh di bandar berkenaan dengan beberapa penduduk juga dilaporkan masih terperangkap.

Beliau turut menggesa penduduk meninggalkan bangunan yang mengalami kerosakan struktur atau mempunyai keretakan besar, serta melaporkan segera sebarang kerosakan lain kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, Perkhidmatan Geologi Colombia (SGC) melaporkan gempa kuat berkenaan berlaku pada 7.34 malam waktu tempatan dengan pusat gempa dikesan berhampiran San José del Palmar, Choco pada kedalaman 96 kilometer.

Bagaimanapun, SGC memaklumkan tiada ancaman tsunami susulan gempa berkenaan. -AFP/Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.