BN Melaka terbuka runding kerjasama hadapi PRN

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh / Foto Fail BERNAMA

AYER KEROH, 10 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak yang berhasrat membentuk kesepakatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan kerjasama mesti melalui saluran rasmi, bukan menerusi media sosial.
  • BN akan mempertahankan 21 kerusi; baki tujuh kerusi boleh dirunding termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
  • Keputusan kerjasama tertakluk kepada rundingan, menilai kekuatan, kelemahan dan bagaimana satu parti membantu parti lain untuk menang.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sebarang perbincangan perlu dibuat melalui saluran rasmi dan bukannya menerusi media sosial.

Beliau menyifatkan konsep BN Plus dilihat berpotensi membentuk kekuatan politik yang baik untuk negeri, namun sebarang kerjasama masih tertakluk kepada proses rundingan dan persetujuan bersama.

“Barisan Nasional akan mempertahankan 21 kerusi yang telah dimenangi pada pilihan raya negeri yang lalu.

“Baki tujuh kerusi pula menimbulkan pelbagai kemungkinan dan boleh dirunding, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi atas dasar rundingan.

“Kita juga akan mengambil kira pelbagai sudut termasuk kekuatan, kelemahan dan kelebihan sesuatu parti, serta bagaimana kekuatan satu parti boleh membantu parti lain untuk menang,” katanya.

Datuk Seri Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, di sini.

Serentak itu, berlangsung Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, sebarang rumusan mengenai kerjasama politik tidak wajar dibuat selagi belum ada keputusan rasmi hasil rundingan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.