Hentavirus: Sepanyol belum buat keputusan

Foto AFP

MADRID, 5 Mei – Kerajaan Sepanyol menafikan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa sebuah kapal persiaran yang dijangkiti hantavirus akan berlabuh di Kepulauan Canary.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan pendaratan kapal ditentukan selepas analisis data epidemiologi daripada persinggahan di Cape Verde selesai.
  • Dua kes hantavirus disahkan dan lima lagi disyaki dalam kalangan 147 penumpang serta kru.
  • Pihak berkuasa menyediakan penjagaan perubatan, disinfeksi, dan pasukan pakar akan memeriksa kapal bagi kesan simptom dan kontak rapat.

Sebaliknya menegaskan pemeriksaan menyeluruh perlu dijalankan sebelum sebarang pelabuhan dibenarkan menerima kapal tersebut.

Kementerian Kesihatan Sepanyol dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa keputusan mengenai destinasi pendaratan kapal itu hanya akan ditentukan selepas analisis data epidemiologi yang dikumpul semasa persinggahan kapal berkenaan di Cape Verde selesai dikaji.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Pengarah Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Kesiapsiagaan Wabak dan Pandemik, Maria Van Kerkhove di Geneva, yang menyatakan kapal tersebut dijadualkan menuju ke kepulauan milik Sepanyol itu.

“Berdasarkan data epidemiologi yang dikumpul, barulah kami akan memutuskan pelabuhan persinggahan mana yang paling sesuai.

“Sehingga itu, tiada sebarang keputusan diambil sebagaimana yang telah kami maklumkan kepada WHO,” menurut kementerian itu menerusi hantaran di media sosial.

Setakat ini, dua kes hantavirus telah disahkan manakala lima lagi individu dikategorikan sebagai kes suspek dalam kalangan 147 orang yang menyertai pelayaran dari Ushuaia, Argentina ke Cape Verde.

Jurucakap kerajaan Sepanyol, Elma Saiz memberi jaminan bahawa segala persiapan merangkumi aspek penjagaan perubatan dan disinfeksi telah disediakan, namun beliau tidak memperincikan lokasi pendaratan yang akan dipilih.

Sementara itu, pihak berkuasa wilayah Kepulauan Canary menyuarakan bantahan terhadap kemungkinan kapal itu berlabuh di sana.

Naib Presidennya, Manuel Dominguez, mencadangkan agar kapal berkenaan dihantar terus ke tanah besar Sepanyol yang mempunyai sumber perubatan lebih lengkap.

Malah, Presiden wilayah kepulauan itu, Fernando Clavijo, berpendapat kapal berkenaan sepatutnya dikendalikan oleh Belanda memandangkan ia berdaftar di bawah bendera negara terbabit.

Satu pasukan pakar epidemiologi dijadualkan menjalankan pemeriksaan ke atas kapal tersebut bagi mengesan simptom dan mengesan kontak rapat dalam kalangan penumpang serta kru bagi mengelakkan penularan lebih meluas. – AFP