Gempa kuat gegar Pulau Selatan New Zealand

Foto hiasan

WELLINGTON, 17 Julai – Gempa bumi berukuran magnitud 5.9 melanda berhampiran bandar Te Anau di Pulau Selatan New Zealand pada malam Khamis, menggegarkan bangunan serta menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami untuk tempoh singkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada laporan awal mengenai kecederaan atau kerosakan.
  • Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami lalu menggesa pemindahan pantai; amaran dibatalkan selepas tiada tanda tsunami dalam dua jam.
  • Pengunjung dan penduduk melaporkan gegaran kuat lama, kira-kira seminit, disertai bunyi seperti kereta api dan dinding bergerak.
  • Sistem GeoNet menerima lebih 18,000 laporan orang awam yang merasai gegaran.

Menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan New Zealand (NEMA), pusat gempa terletak kira-kira 40 kilometer di utara Te Anau, yang menjadi pintu masuk ke kawasan tumpuan pelancongan Fiordland. Tiada laporan awal mengenai kecederaan atau kerosakan.

Gempa berlaku pada pukul 9.14 malam waktu tempatan (0914 GMT). Pada awalnya, pihak berkuasa menganggarkan kekuatan gempa pada magnitud 6.3 sebelum NEMA mengeluarkan amaran tsunami dan menggesa penduduk di kawasan pesisir pantai berpindah ke tempat lebih selamat.

Amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa itu kemudian dibatalkan selepas tiada tanda-tanda tsunami dikesan dalam tempoh dua jam.

Pengurus bertugas di Fiordland Hotel, Te Anau, Maylene Puyat berkata, gegaran dirasai agak kuat dan menyebabkan bangunan bergegar kira-kira seminit.

“Di dalam hotel, semuanya bergegar,” katanya.

Seorang lagi penduduk memberitahu akhbar tempatan Otago Daily Times bahawa gegaran itu berlaku dalam tempoh lama dan kuat, selain kedengaran seperti bunyi kereta api.

“Dinding benar-benar bergerak,” katanya.

Sistem pemantauan bahaya GeoNet turut menerima lebih 18,000 laporan daripada orang awam yang merasai gegaran berkenaan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.