Kebakaran di Sepanyol musnahkan 4,500 hektar hutan

Foto Reuters

MADRID, 16 Julai – Sepanyol kembali berdepan ancaman kebakaran hutan apabila kebakaran besar di timur laut negara itu memusnahkan kira-kira 4,500 hektar kawasan hutan dan tanah pertanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 400 anggota bomba dengan sokongan pasukan tentera bertungkus-lumus memadam kebakaran di Ores, Aragon.
  • Usaha pemadaman dijangka mengambil masa beberapa hari kerana api sukar dikawal.
  • Beberapa kampung dipindahkan dan beberapa kediaman dilaporkan mengalami kerosakan.
  • Pakar iklim memberi amaran perubahan iklim dan suhu sehingga 40 darjah Celsius menjadikan kebakaran lebih mudah merebak.

Pihak berkuasa memaklumkan, lebih 400 anggota bomba dengan sokongan pasukan tentera sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran di kawasan perbandaran Ores, wilayah Aragon.

Bagaimanapun, usaha memadamkan kebakaran dijangka mengambil masa beberapa hari berikutan keadaan api yang sukar dikawal.

Menurut pegawai kanan kerajaan wilayah, Roberto Bermudez de Castro, beberapa kampung kecil telah dipindahkan sebagai langkah keselamatan, manakala beberapa kediaman turut dilaporkan mengalami kerosakan.

Rakaman udara menunjukkan api marak merebak di kawasan hutan yang luas serta ladang yang kering akibat cuaca panas melampau.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menerusi platform X menzahirkan solidariti kepada penduduk terjejas dan menggesa orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pakar iklim memberi amaran, perubahan iklim akibat aktiviti manusia menyumbang kepada peningkatan tempoh, intensiti dan kekerapan cuaca panas ekstrem, sekali gus mewujudkan keadaan lebih mudah untuk kebakaran hutan merebak.

Aragon dilanda suhu sehingga 40 darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Kejadian terbaru itu berlaku hanya seminggu selepas kebakaran hutan terburuk dalam sejarah moden Sepanyol di wilayah Almeria yang mengorbankan 13 nyawa termasuk tujuh warga Britain dan seorang rakyat Amerika Syarikat, selain memusnahkan 7,000 hektar kawasan.

Tahun lalu, kebakaran hutan di Sepanyol memusnahkan hampir 400,000 hektar tanah, angka tertinggi pernah direkodkan negara itu oleh Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.