
JAKARTA, 16 Julai – Seorang anggota tentera maut manakala enam lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah depot simpanan peluru tentera di wilayah Madiun, Jawa Timur, Indonesia pada Khamis.
- Letupan berlaku semasa kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan di depot simpanan peluru.
- Tentera anggap insiden dipercayai kemalangan; siasatan dalaman akan dijalankan untuk tentukan punca.
- Insiden mengingatkan tragedi tahun lalu: sekurang-kurangnya empat anggota tentera dan sembilan orang awam maut.
- Pada 2024, beberapa letupan di gudang simpanan peluru pinggir Jakarta memaksa pemindahan penduduk; tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Tentera Darat Indonesia, Donny Pramono berkata, insiden berlaku ketika anggota terbabit menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan di lokasi berkenaan.
“Seorang anggota disahkan meninggal dunia, manakala empat lagi mengalami kecederaan parah dan dua yang lain cedera ringan.
“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kemalangan dan siasatan dalaman akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan,” katanya.
Insiden berkenaan mengingatkan kembali kejadian tahun lalu apabila sekurang-kurangnya empat anggota tentera dan sembilan orang awam maut ketika operasi pelupusan bahan letupan lama dilakukan.
Pada 2024, beberapa letupan turut berlaku di sebuah gudang simpanan peluru tentera di pinggir Jakarta, menyebabkan pemindahan penduduk sekitar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-AFP