
MANILA, 16 November – Filipina menggesa kerjasama serantau diperkukuh bagi memastikan keamanan di Laut China Selatan tidak mengorbankan hak maritim negara-negara di rantau itu.
- Risiko konflik di Laut China Selatan berkait rapat dengan kepentingan ekonomi dan tuntutan maritim yang bertindih.
- Laut China Selatan menjadi kawasan pertikaian kerana ia laluan perdagangan global dan kawasan yang makmur.
- Usaha mengekalkan keamanan tidak seharusnya membiarkan hak maritim dan ketertiban serantau terhakis secara beransur-ansur.
- Tuntutan luas China mencetuskan pertikaian dengan Filipina dan jiran mengenai hak maritim, kawasan perikanan dan laluan perdagangan.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr berkata, risiko konflik di perairan berkenaan berkait rapat dengan kepentingan ekonominya serta tuntutan maritim yang bertindih.
Beliau berkata, Laut China Selatan menjadi kawasan pertikaian kerana kepentingannya sebagai laluan perdagangan global.
“Ia merupakan kawasan konflik kerana juga kawasan yang makmur, dengan sebahagian besar perdagangan global melaluinya,” katanya pada Dialog Manila di Paranaque City.
Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Filipina, Eduardo Oban Jr berkata, usaha mengekalkan keamanan tidak seharusnya membiarkan hak maritim dan ketertiban serantau terhakis secara beransur-ansur.
” Tanggungjawab kita bukan sekadar memelihara keamanan di Laut China Selatan, tetapi memastikan keamanan itu tidak mengorbankan masa depan yang ingin kita lindungi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha mencegah konflik bersenjata kekal penting, namun perlindungan terhadap ketertiban maritim serantau daripada terus terhakis juga perlu diberi keutamaan.
Oban turut mengajak delegasi menilai keadaan menjelang 2031, sama ada Laut China Selatan kekal sebagai kawasan pertikaian yang masih dapat diuruskan berlandaskan undang-undang antarabangsa atau berubah akibat tindakan paksaan dan unilateral.
Dialog Manila berlangsung dari 15 hingga 17 November, menghimpunkan pegawai kerajaan serta delegasi antarabangsa bagi membincangkan keselamatan maritim dan kerjasama serantau.
China menuntut sebahagian besar kawasan Laut China Selatan, sekali gus mencetuskan pertikaian dengan Filipina dan beberapa negara jiran berhubung hak maritim, kawasan perikanan serta laluan perdagangan penting. – Viory.