Filipina dakwa China serang anggota tentera laut

Rakaman tentera Filipina memaparkan insiden membabitkan anggota Pengawal Pantai China dan Tentera Laut Filipina di Beting Thomas Kedua, Laut China Selatan yang menjadi pertikaian/AFP

MANILA, 20 Julai – Tentera Filipina mendakwa seorang anggota tentera lautnya cedera dipukul dengan belantan kayu oleh anggota Pengawal Pantai China ketika menghampiri BRP Sierra Madre, kapal yang menjadi pos kawalan Filipina di kawasan pertikaian Laut China Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot Pengawal Pantai China berisi lapan anggota mengelilingi BRP Sierra Madre, merakam gambar dan video.
  • Tentera Filipina menghantar dua bot getah untuk mengusir bot China.
  • Kementerian Pertahanan Filipina anggap insiden sebahagian corak tindakan provokatif dan bermusuhan Pengawal Pantai China.
  • Insiden berlaku beberapa jam sebelum pertemuan menteri luar kedua negara sempena sidang kemuncak serantau di Manila.

Menurut kenyataan tentera Filipina, sebuah bot Pengawal Pantai China yang dinaiki lapan anggota mengelilingi BRP Sierra Madre di Beting Thomas Kedua, Kepulauan Spratly, sebelum merakam gambar dan video kapal berkenaan.

Tentera Filipina berkata, dua bot getah tenteranya kemudian dihantar ke lokasi bagi mengusir bot berkenaan.

Menurut kenyataan itu, anggota Pengawal Pantai China bertindak agresif dengan memukul seorang anggota Tentera Laut Filipina di kepala menggunakan belantan kayu sehingga menyebabkan kecederaan serta merosakkan sebuah bot getah milik tentera laut negara itu.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Filipina menyifatkan insiden itu sebagai sebahagian daripada corak tindakan provokatif dan bermusuhan yang berterusan oleh Pengawal Pantai China.

Kedutaan China di Manila belum mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung dakwaan tersebut.

Insiden itu berlaku hanya beberapa jam selepas Kementerian Luar Filipina memaklumkan menteri luar kedua-dua negara dijadual mengadakan pertemuan sempena sidang kemuncak serantau di Manila minggu ini.

Pada Jun tahun lalu, anggota penguat kuasa China yang bersenjatakan pisau, kayu dan kapak dilaporkan menyerang anggota tentera Filipina yang menjalankan misi menghantar bekalan ke BRP Sierra Madre.

Sebulan kemudian, kedua-dua negara mencapai persetujuan sementara bagi membolehkan misi penghantaran bekalan ke kapal tersebut diteruskan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan meskipun tribunal antarabangsa sebelum ini memutuskan tuntutan berkenaan tidak mempunyai asas undang-undang.

Ketegangan antara Beijing dan Manila terus memuncak dengan Filipina turut memfailkan bantahan diplomatik minggu lalu berhubung video media kerajaan China yang didakwa berunsur perkauman terhadap negara itu.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.