
BRUSSELS, 17 Mac — Kesatuan Eropah (EU) buat masa ini tidak berhasrat memperluas operasi tentera lautnya ke Selat Hormuz walaupun ketegangan meningkat di Asia Barat.
- Menteri luar EU menumpukan usaha pada meredakan konflik dan memastikan kebebasan pelayaran.
- EU menjalankan operasi Aspides di Laut Merah untuk melindungi kapal perdagangan, dan bercadang memperkukuh aset tentera laut.
- Negara anggota enggan terlibat secara langsung dalam konflik serta menyokong penyelesaian diplomatik bagi mengurangkan ketegangan.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dalam kalangan menteri luar EU yang lebih memberi tumpuan kepada usaha meredakan konflik serta memastikan kebebasan pelayaran.
Menurutnya, EU ketika ini mempunyai operasi tentera laut Aspides di Laut Merah bagi melindungi kapal perdagangan daripada serangan kumpulan bersenjata di rantau berkenaan.
Kallas berkata negara anggota EU juga tidak mahu terlibat secara langsung dalam konflik yang semakin meruncing di rantau itu.
“Ini bukan perang Eropah. Dalam situasi di rantau ini, EU mempunyai operasi Aspides di Laut Merah. Perbincangan mencadangkan operasi itu diperkukuh kerana aset tentera lautnya masih terhad dan perlu ditambah.
“Bagaimanapun, tiada kecenderungan dalam kalangan negara anggota untuk memperluas mandat operasi itu ke Selat Hormuz, termasuk ke kawasan utara Garisan Muscat. Tiada pihak mahu terlibat secara aktif dalam perang ini dan semua pihak bimbang mengenai kesannya,” katanya.
Kallas turut menegaskan EU menyokong penyelesaian diplomatik bagi mengurangkan ketegangan yang menjejaskan laluan perdagangan global. – REUTERS