
SALAMINA, 17 Ogos – Dua maut dalam kebakaran hutan yang melanda pulau Salamina, Greece, pada Ahad, manakala beberapa lagi cedera ketika kebakaran merebak dengan pantas di pulau di barat Athens.
- 502 penduduk dipindahkan dari kawasan pantai Kolones dan Saterli ke empat feri, 362 dibawa ke pelabuhan Faneromeni.
- Perkhidmatan Bomba mengerahkan 260 anggota, 58 kenderaan, 15 pasukan komando hutan, 10 pesawat dan lapan helikopter.
- Gelombang haba dan kemarau menjadikan tumbuh-tumbuhan sangat kering sekaligus meningkatkan risiko kebakaran hutan di Greece.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pasukan bomba berhampiran kawasan Peristeria.
Ketua Pegawai Bomba Vasilis Vathrakogiannis berkata kedua-dua mangsa maut sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Seramai 502 penduduk dari kawasan pantai Kolones dan Saterli dipindahkan ke empat feri penumpang, dengan 362 daripada mereka dibawa ke pelabuhan Faneromeni.
Perkhidmatan Bomba Greece mengerahkan 260 anggota, 58 kenderaan, 15 pasukan komando hutan, 10 pesawat dan lapan helikopter bagi memadamkan dua kebakaran yang tercetus di Peristeria dan Selinia sekitar pukul 3 petang.
Beberapa rumah dilaporkan rosak, manakala lima individu menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan tempatan.
Kebakaran berlaku ketika Greece memasuki hujung minggu cuti musim panas paling sibuk sempena sambutan Assumption pada 15 Ogos, yang menyaksikan ramai penduduk Athens berkunjung ke pulau-pulau berdekatan termasuk Salamina.
Pada Ahad, pulau itu diletakkan di bawah amaran risiko kebakaran hutan tinggi.
Bagaimanapun punca kebakaran masih belum diketahui.
Gelombang haba berturut-turut di seluruh Eropah turut memburukkan keadaan kemarau dan menyebabkan tumbuh-tumbuhan menjadi amat kering, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan di Greece, Sepanyol dan Perancis. – REUTERS